'Bukan ambil alih, ubah sistem tahfiz'

Pelajar tahfiz tetap meneruskan hafazan al-Quran mereka, tetapi pada masa yang sama turut memperoleh kemahiran lain melalui program TVET. Gambar hiasan
Pelajar tahfiz tetap meneruskan hafazan al-Quran mereka, tetapi pada masa yang sama turut memperoleh kemahiran lain melalui program TVET. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM – Tanggapan negatif terhadap saranan agar maahad tahfiz tidak berdaftar terlibat dalam program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berpunca daripada kekeliruan serta salah faham dalam kalangan masyarakat.

Presiden Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Kebangsaan (PINTA), Mohd Zahid Mahmood berkata, usaha kerajaan untuk memberikan latihan kemahiran kepada pelajar maahad tahfiz merupakan langkah baik bagi memastikan mereka memiliki nilai tambah dalam kehidupan.

Bagaimanapun katanya, terdapat pihak tertentu yang dikhuatiri cuba memainkan dan mempolitikkan isu tersebut demi kepentingan masing-masing.

“Walaupun terdapat maahad tahfiz yang masih dalam proses pendaftaran, kerajaan tetap membenarkan pelajar mengikuti TVET kerana ia ditawarkan secara percuma. Namun, tanggapan masyarakat pula berbeza kerana ada yang cuba mencari poin politik dalam isu ini.

“Jika seseorang itu daripada pihak pembangkang, mereka mungkin mendakwa kerajaan mahu mengambil alih sekolah tahfiz, memodenkan institusi ini atau meliberalkannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, segelintir masyarakat menuduh kerajaan mempunyai niat lain dan mahu mengambil alih institusi tahfiz apabila memperkenalkan TVET yang dikatakan lebih menumpukan kepada kemahiran berbanding al-Quran, namun dakwaan itu tidak benar.

Mohd Zahid menjelaskan bahawa salah satu faktor utama yang menyebabkan wujudnya tanggapan negatif ialah penyebaran maklumat yang tidak tepat.

“TVET merupakan sesuatu yang baru diterapkan dan masih ramai yang tidak memahami sepenuhnya konsep ini.

“Kira-kira 1,500 sekolah tahfiz di negara ini, dan bukan semuanya memahami isu TVET dengan terperinci. Kadangkala, mereka yang fobia terhadap perubahan menganggap kerajaan mahu membawa unsur keduniaan ke dalam institusi tahfiz, sedangkan matlamatnya adalah untuk menambah nilai kemahiran pelajar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan tidak pernah bercadang untuk mengambil alih atau mengubah sistem pendidikan tahfiz, sebaliknya, inisiatif itu bertujuan membantu pelajar mendapatkan kemahiran tambahan agar lebih bersedia menghadapi masa depan.

Menurutnya, pelajar tahfiz tetap meneruskan hafazan al-Quran mereka, tetapi pada masa yang sama, mereka turut memperoleh kemahiran lain melalui program TVET.

Mohd Zahid berkata, pihaknya menyokong usaha kerajaan dalam memperkasakan pelajar tahfiz dengan kemahiran tambahan kerana tidak semua pelajar mampu menghafal 30 juzuk al-Quran.

Katanya, kerajaan menyediakan pelbagai inisiatif termasuk bekerjasama dengan institusi seperti Institut Latihan Perindustrian (ILP) Selandar di Melaka yang diiktiraf sebagai pusat kemahiran untuk pelajar tahfiz.

“Jika pelajar tahfiz tidak mampu menghafal 10 juzuk, kerajaan memberikan peluang kepada mereka untuk mengikuti kursus kemahiran di ILP Selandar,” katanya.

Beliau menyifatkan usaha itu sebagai langkah memastikan pelajar yang tidak dapat menghabiskan 30 juzuk tetap mempunyai kemahiran baharu dan seterusnya masa depan lebih cerah.

Mohd Zahid berharap agar tiada pihak yang mempolitikkan isu itu dan menggesa supaya usaha kerajaan dalam memperkenalkan TVET kepada pelajar maahad tahfiz disokong.

Tambah beliau, kerajaan tidak hanya memfokuskan kepada maahad tahfiz berdaftar, tetapi juga yang tidak berdaftar bagi memastikan semua pelajar tahfiz menikmati manfaat TVET.

Beliau berharap tanggapan negatif terhadap TVET di maahad tahfiz diperbetulkan agar lebih ramai pelajar mengambil peluang untuk memanfaatkan pendidikan tersebut.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!