DPTN 2.0 perkasa pendidikan tahfiz

KUALA LUMPUR – Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN 2.0) sedang dirangka bagi memastikan sistem pendidikan tahfiz di Malaysia lebih tersusun, berkualiti dan relevan dengan keperluan semasa.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif ini menumpukan kepada penambahbaikan kurikulum, penyelarasan akreditasi serta peningkatan infrastruktur dan sumber kewangan bagi melahirkan huffaz yang bukan sahaja mahir dalam hafazan tetapi juga berdaya saing di peringkat profesional.
"Kerajaan komited memastikan institusi tahfiz tidak hanya melahirkan penghafaz al-Quran, tetapi juga individu yang mempunyai kemahiran intelektual dan teknikal yang boleh menyumbang kepada pembangunan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Bagi memperkukuhkan pengiktirafan terhadap huffaz, kerajaan telah memperkenalkan Sijil Tahfiz Malaysia 2.0 (STM 2.0) yang bukan sahaja menilai hafazan 30 juzuk tetapi turut menguji pemahaman serta ilmu Islam lain yang berkaitan.
Selain itu, Sijil Perakuan Hafazan Bertahap (SPHB) diperkenalkan sebagai pengiktirafan rasmi kepada huffaz berdasarkan tahap hafazan yang dicapai. Peperiksaan ini dijalankan dua kali setahun dan dianugerahkan oleh Darul Quran Jakim.
Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, dalam memastikan generasi huffaz turut berdaya saing dalam bidang teknikal dan vokasional, kerajaan turut memperkenalkan inisiatif TVET-Tahfiz sebagai langkah baharu dalam sistem pendidikan negara.
"Sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, saya melihat program ini sebagai game-changer yang membuka ruang kepada para huffaz untuk menceburi bidang teknikal dan vokasional tanpa mengorbankan keunggulan mereka sebagai penghafaz al-Quran," jelasnya.
Menurut Zahid, usaha menanam kecintaan terhadap al-Quran perlu bermula sejak usia kanak-kanak.
"Justeru, melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), kerajaan telah memperkenalkan Pra-Tahfiz Tabika Kemas bagi memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai hafazan al-Quran.
"Program ini bukan sahaja membina asas kukuh dalam pendidikan tahfiz, tetapi juga menanam nilai-nilai Islam yang akan membentuk jati diri mereka sejak kecil," katanya.
Beliau berkata, kerajaan turut menyasarkan untuk melahirkan 125,000 huffaz profesional menjelang 2050, menjadikan Malaysia sebagai pusat rujukan pendidikan al-Quran bertaraf dunia.
"Ini bukan sekadar angka, tetapi satu visi besar untuk mengangkat martabat Malaysia sebagai hab pendidikan tahfiz yang diiktiraf di peringkat antarabangsa," katanya.
Sebagai simbol kesungguhan kerajaan dalam memartabatkan institusi tahfiz, Himpunan 25K Huffaz akan dianjurkan sekali lagi tahun ini bagi meraikan peranan para huffaz dalam masyarakat.
Zahid turut menyeru ibu bapa, komuniti, sektor swasta dan seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama menyokong usaha pemartabatan institusi huffaz.
"Kita perlu memastikan institusi ini terus berkembang dan kekal relevan dalam melahirkan generasi al-Quran yang cemerlang, berilmu, dan berdaya saing," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

