Anak kariah jadi keutamaan imamkan solat tarawih

Muhammad Ridwanto
Muhammad Ridwanto
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Setiap kali menjelang Ramadan, masjid dan surau di seluruh negara bersiap sedia mengimarahkan malam-malam bulan mulia ini dengan ibadah terutamanya solat sunat tarawih.

Antara perkara yang diberikan perhatian dalam solat tarawih ini adalah dari segi pemilihan imam bagi mengimami solat tarawih ini sehingga ke penghujung Ramadan.

Bagaimanapun bagi pihak jawatankuasa Masjid Jamek Al-Jawahir, Taman Mutiara Rini, di sini, mereka memberikan keutamaan kepada anak muda di kariah berkenaan bagi mengimamkan solat tarawih di sepanjang Ramadan.

Menurut pengerusinya, Muhammad Ridwanto Syaful Anwar, 42, pihak jawatankuasa memberikan keutamaan diberikan kepada anak tempatan yang juga merupakan pelajar tahfiz atau bergraduasi dari institusi pengajian tahfiz.

“Kita lebih mengutamakan anak kariah yang berkelayakan bagi melaksanakan tanggungjawab selaku imam bagi solat tarawih.

“Biasanya, kita akan hantar nama-nama mereka yang dipilih ini ke pejabat kadi, dan pejabat kadi akan keluarkan surat perlatikan.

“Tahun ni benda yang sama kita lakukan dan biasanya dua atau tiga anak kariah akan kita pilih sebagai imam di masjid ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas mengenai soal bayaran, Muhammad Ridwanto berkata, pihaknya tidak mempunyai dana khusus berhubung bayaran kepada imam solat tarawih.

Katanya, perkara berkenaan bergantung kepada dana hasil sumbangan jemaah termasuk hasil kutipan khas di sepanjang Ramadan.

Artikel Berkaitan:

“Kami memang tidak mempunyai dana khusus untuk bayaran imam. Kebiasaannya, kutipan jemaah meningkat sepanjang Ramadan.

“Jadi, sebahagian dana ini akan disalurkan sebagai token penghargaan kepada imam yang bertugas. Ia diberikan secara one-off.

“Selain bayaran kepada imam, dana sumbangan jemaah juga digunakan untuk program berbuka puasa serta bantuan kepada golongan memerlukan, menjadikan setiap sumbangan diterima dimanfaat secara menyeluruh,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Ridwanto berkata, proses pemilihan imam bagi solat tarawih ini dikawal selia oleh pejabat kadi bagi memastikan individu yang dipilih benar-benar layak dan berkebolehan memimpin solat serta mampu membaca al-Quran dengan baik.

Bagaimanapun, mereka perlu mempunyai tauliah daripada pejabat kadi dan setiap calon perlu mengemukakan permohonan dan melalui sesi temuduga sebelum diberikan tauliah sementara bagi bertugas di sepanjang Ramadan.

“Bukan sebarangan orang boleh menjadi imam tarawih.

“Mereka yang akan dipilih mesti melalui proses temuduga dan disaring bagi memastikan kualiti bacaan serta kefahaman agama mereka yang mantap,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!