Kaji masalah rantaian bekalan perubatan, kenal pasti punca kenaikan inflasi - Shahril

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menjalankan kajian secara menyeluruh terhadap masalah rantaian bekalan perubatan bagi mengenal pasti punca sebenar kenaikan inflasi bagi kos perubatan di Malaysia.
Bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, kajian tersebut perlu disusuli dengan kesahihan data yang membuktikan syarikat insurans dan hospital swasta tidak meraih keuntungan besar daripada kenaikan bil hospital swasta dan premium insurans perubatan sebagaimana yang didakwa.
Menurutnya, ini kerana margin keuntungan hospital swasta di Malaysia didakwa 10 peratus lebih rendah daripada purata global, dengan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini mendedahkan pendapatan bersih syarikat-syarikat insurans telah menurun.
"Jadi, siapa sebenarnya meraih untung di sini? Barangkali (kos) dalam rantaian bekalan yang meningkat. Saya tidak mempunyai jawapan lengkap, tetapi kerajaan boleh menjalankan kajian untuk mendedahkan butiran terperinci.
“Mungkin terdapat masalah besar dalam industri dan ekosistem bekalan perubatan,” kata Shahril Sufian dalam siri audio siar Keluar Sekejap yang disiarkan pada Ahad.
Sementara itu, bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin turut bersetuju dengan pandangan Shahril dan mengakui harga bahan mentah, ubat-ubatan, peralatan dan tenaga kerja telah meningkat sepanjang beberapa tahun ini.
Bekas Ahli Parlimen Rembau itu berkata, faktor berkenaan telah menyumbang kepada persekitaran perubatan yang berdepan kenaikan inflasi.
“Kita tidak boleh menyalahkan semua benda pada syarikat insurans atau hospital swasta. Kita perlu melihat keseluruhan rantaian bekalan yang berkaitan dengan perkhidmatan kesihatan.
“Kita juga perlu mengakui bahawa faktor geopolitik, faktor permintaan dan pasaran buruh turut menyumbang kepada inflasi perubatan yang agak sukar untuk dikawal,” tambah Khairy.
Berikutan itu, Khairy menyeru kerajaan mempertimbangkan cadangan meningkatkan belanjawan tahunan Kementerian Kesihatan daripada tiga kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Jelasnya, cadangan itu dianggap mendesak sekiranya kajian KKM telah mengenal pasti faktor-faktor yang menyebabkan kenaikan kos perubatan adalah di luar kawalan kerajaan.
“Itulah satu-satunya cara untuk kerajaan membantu tanpa campur tangan pasaran dan memastikan sistem penjagaan kesihatan awam kita dapat menampung lebih ramai orang yang tidak mampu mendapatkan penjagaan kesihatan swasta,” katanya.
Pada Disember lalu, BNM mengumumkan beberapa langkah sementara untuk mengurangkan impak kenaikan premium insurans kesihatan yang dijangka meningkat antara 40 peratus hingga 70 peratus.
Dalam kenyataannya, bank pusat itu berkata, pengendali insurans dan takaful akan diminta untuk melaksanakan kenaikan premium itu secara beransur-ansur selama sekurang-kurangnya tiga tahun.
BNM turut menyatakan kadar kenaikan kos perubatan Malaysia mencecah 15 peratus pada tahun lalu, kadar jauh lebih tinggi berbanding purata global dan Asia-Pasifik iaitu 10 peratus.
Tambah BNM, ini didorong oleh kemajuan teknologi perubatan dan peningkatan penyakit tidak berjangkit di kalangan rakyat Malaysia, yang menyebabkan permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan meningkat.
Senario itu turut menyebabkan tuntutan yang dibayar oleh syarikat insurans meningkat lebih cepat daripada premium yang dikutip.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
