Harimau kumbang jantan masuk perangkap selepas 3 tahun diburu

KUALA PILAH - Seekor harimau kumbang jantan seberat 47.5 kilogram (kg) memasuki perangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan di Kampung Tumang, Johol, di sini pada Ahad.
Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, pihaknya menerima maklumat harimau kumbang memasuki perangkap pada jam 7.40 pagi.
"Petugas Perhilitan tiba di lokasi dan mendapati seekor harimau kumbang jantan mengalami kecederaan dan doktor veterinar Perhilitan mengesahkan harimau kumbang itu cedera di bahagian muka dan leher.
"Usaha menangkap harimau kumbang dilaksanakan sejak tiga tahun lepas, setelah menerima aduan daripada penduduk kampung mengenai kehadiran haiwan itu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut Faizal Izham, berdasarkan rakaman kamera yang dipasang di sekitar tiga perangkap harimau kumbang mendapati hidupan liar itu cuba memasuki perangkap yang mempunyai umpan kambing namun tidak berjaya kerana bersaiz besar.
"Sehubungan itu, pihak kami membuat keputusan memasang perangkap harimau belang untuk memerangkap harimau kumbang tersebut. Akhirnya memasuki perangkap setelah mengambil masa lebih kurang tiga tahun," katanya.
Beliau berkata, haiwan tersebut akan dibawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar (NWRC) untuk rawatan sebelum pelepasan dilakukan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
