Pemikat burung cemas, dua ekor harimau kumbang muncul depan mata

BACHOK - Orang ramai dilarang melakukan aktiviti pendakian di Bukit Gunong di sini buat sementara waktu selepas dua ekor harimau kumbang dipercayai muncul berhampiran lapang sasar di bukit berkenaan pada Jumaat.
Kemunculan haiwan pemangsa tersebut disedari oleh sekumpulan pemikat burung sekitar jam 4 petang.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Gunong, Fazrin Izwan Ismail berkata, mereka mendakwa melihat harimau kumbang berwarna hitam itu pada jarak sekitar 100 meter.
"Selain itu, kumpulan pemikat burung mendakwa turut terdengar ngauman dan melihat haiwan itu memanjat pokok berhampiran.
"Saya dimaklumkan mereka telah membuat laporan kepada APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia), dan pihak polis serta Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) telah datang ke lokasi sekitar jam 7 malam," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan di lokasi pihak berkuasa telah menemui dua pasang mata bersinar semasa disuluh lampu namun tidak dapat mengenal pasti sama ada itu adalah harimau kumbang atau sebaliknya.
Ujarnya, bagaimanapun perangkap telah dipasang oleh Perhilitan pada Sabtu bagi menangkap haiwan berkenaan.
"Walaupun jarak lokasi pendakian dengan penemuan harimau kumbang tersebut sekitar satu kilometer namun pihak berkuasa telah mengeluarkan arahan supaya aktiviti riadah berkenaan dihentikan buat sementara waktu demi keselamatan.
"Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak mendekati kawasan Bukit Gunong bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku kerana jarak penemuan haiwan liar terbabit dengan rumah penduduk sekitar 400 meter sahaja," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

