Pegang telefon ketika solat untuk rujuk al-Quran dibenarkan, asalkan tidak ganggu khusyuk - Mufti

Tangkap layar siaran langsung seorang wanita ketika melaksanakan solat tarawih pada Sabtu. Gambar kecil: Mohd Sukki
Tangkap layar siaran langsung seorang wanita ketika melaksanakan solat tarawih pada Sabtu. Gambar kecil: Mohd Sukki
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Umat Islam tidak digalakkan memegang telefon ketika solat tarawih kerana bimbang melihat perkara tidak sepatutnya selain ayat al-Quran.

Bagaimanapun, perbuatan tersebut dibenarkan untuk mereka yang masih belum menghafal surah jika melalui mushaf asalkan tidak mengganggu kekhusyukkan.

Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman berkata, para ulama menjelaskan membaca daripada mushaf termasuk melalui telefon dibolehkan berdasarkan amalan sebahagian ‘salaf’ yang membaca daripada mushaf ketika solat.

“Tetapi diingatkan untuk memegang telefon dengan satu tangan atau meletakkannya di tempat yang mudah dibaca adalah lebih baik daripada sering bergerak mengambil dan meletakkannya.

“Jadi, individu yang menggunakan telefon untuk membaca surah, solatnya tetap sah tanpa pergerakan banyak atau mengganggu khusyuk,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Beliau berkata demikian bagi mengulas isu yang tular di TikTok apabila seorang wanita membuat siaran langsung ketika menunaikan solat tarawih pada hari pertama Ramadan.

Menerusi video berkenaan, jelas kelihatan wanita terbabit memegang telefon di sebelah tangannya sehingga mengundang persoalan dalam kalangan masyarakat.

Mohd Sukki berkata, perbuatan membuat siaran langsung di media sosial ketika melaksanakan solat boleh mengganggu tumpuan ibadah hingga menyebabkan ia terbatal.

“Dalam Islam, khusyuk adalah elemen penting ketika menunaikan solat. Jika seseorang melakukan perbuatan yang mengganggu fokus solat, ini boleh menjejaskan kesempurnaan ibadah.

Artikel Berkaitan:

“Menurut pandangan Mazhab Syafie, sebarang perbuatan yang tidak berkaitan dengan solat dan mengganggu tumpuan boleh menyebabkan ibadah berkenaan terbatal.

“Ini termasuklah tangan digunakan untuk memegang, melihat komen dan berinteraksi dengan penonton siaran langsung, ia juga akan membatalkan solat,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai tindakan menanggalkan atau memakai semula cermin mata dalam solat pula, beliau berkata, ia tidak membatalkan jika pergerakan tidak melebihi tiga kali.

“Solat masih sah jika tiada pergerakan banyak dan tidak melibatkan interaksi dengan orang lain.

“Namun solat sambil bersiaran langsung boleh mengurangkan kekhusyukkan dan memberi kesan negatif kepada pemahaman masyarakat tentang adab dalam ibadah.

“Sebaiknya elakkan kerana solat adalah urusan peribadi antara hamba dengan ALLAH, bukan untuk tontonan umum,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!