[VIDEO] World #QuranHour di bulan Ramadan penuh keberkatan
KOTA BHARU – Program World #QuranHour 2025 yang bakal berlangsung pada 25 Mac ini bertepatan dengan bulan Ramadan yang penuh keberkatan, sekali gus memberi peluang keemasan kepada umat Islam meraih pahala berlipat kali ganda melalui bacaan al-Quran.
Pengetua Sekolah Menengah Ugama (SMU) Arab (A) Darul Anuar, Nik Hamdi Abdul Ghani berkata, membaca dan menghayati al-Quran bukan sahaja memberi ketenangan jiwa tetapi juga membawa keberkatan dalam kehidupan di dunia dan akhirat.
Menurutnya, umat Islam tidak boleh menjadikan kesibukan harian sebagai alasan untuk mengabaikan al-Quran, sebaliknya perlu memperuntukkan masa untuk membaca serta memahami isi kandungannya.

“Al-Quran sepatutnya menjadi bacaan utama dalam kehidupan setiap Muslim, walau sibuk, jangan sesekali lupa untuk menyediakan ruang masa bersama al-Quran.
“Program World #QuranHour ini sangat baik dan sepatutnya disokong oleh semua pihak kerana kelebihan yang ada pada al-Quran dan ganjaran jika membacanya di bulan Ramadan,” katanya ketika ditemui pada Jelajah Kempen World Quran 2025 peringat negeri Kelantan Pulau Melaka pada Ahad.
Beliau turut menegaskan bahawa tidak kira usia atau tahap penguasaan seseorang dalam membaca al-Quran, mereka tetap berpeluang untuk mempelajarinya.
“Jangan anggap kelemahan dalam bacaan sebagai penghalang untuk mendekati al-Quran.
“Selagi kita masih hidup, selagi itulah peluang untuk belajar dan membaca al-Quran terbuka luas,” katanya.

Mengulas mengenai keistimewaan membaca al-Quran di bulan Ramadan, beliau berkata, ganjaran yang diberikan ALLAH kepada hamba-Nya adalah berkali ganda berbanding bulan lain.
“Dalam sebuah hadis, Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa amalan sunat yang dilakukan pada bulan Ramadan akan diberi pahala seperti amalan fardu di bulan lain, termasuk membaca al-Quran,” jelasnya.
Beliau turut berkongsi bahawa Rasulullah SAW sendiri bertadarus al-Quran bersama malaikat Jibril setiap hari sepanjang Ramadan, menunjukkan betapa pentingnya mengulang dan memperkukuhkan bacaan al-Quran.
Dalam pada itu, Nik Hamdi berkata, seramai 80 pelajar lelaki dan perempuan dari sekolah berkenaan akan menyertai program World #QuranHour peringkat negeri Kelantan yang akan diadakan di Madinah Ramadan, Stadium Sultan Muhammad IV.
“Kami berharap penyertaan pelajar ini akan memberi inspirasi kepada masyarakat untuk lebih dekat dengan al-Quran dan menjadikannya sebagai pedoman dalam kehidupan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah World #QuranHour 2025 peringkat negeri Kelantan, Surena Mohd Noor, berkata, penganjuran peringkat negeri tersebut tahun ini menyasarkan 5,000 individu di 20 lokasi termasuk masjid dan rumah ngaji.
“Di lokasi utama di Madinah Ramadan, seramai 2,000 hadirin dijangka hadir.
“Selebihnya di lokasi-lokasi lain seluruh negeri Kelantan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

