Pemanduan automatik kini dibenarkan secara teori di Switzerland

GENEVA - Bermula Sabtu, pemanduan automatik kini dibenarkan di Switzerland, termasuk penggunaan sistem 'pembantu pemanduan dalam kesesakan' yang boleh mengambil alih kawalan kenderaan dalam keadaan tertentu ketika pemandu berada dalam kesesakan jalan raya, lapor agensi berita Jerman dpa.
Bagaimanapun, pemandu di Jerman masih menghadapi masalah dengan sistem ini kerana tiada pengeluar kenderaan yang memohon kelulusan di Switzerland.
Oleh itu, sistem ini tidak boleh digunakan walaupun kenderaan mereka dilengkapi dengan teknologi berkenaan.
Di Jerman, Mercedes dan BMW menawarkan sistem 'pembantu pemanduan dalam kesesakan' pada model tertentu.
Jurucakap Pejabat Pengangkutan Jerman memberitahu dpa, sistem ini perlu memastikan ia dapat mengenali ciri khas jalan raya di Switzerland, seperti tanda jalan.
Beliau berkata, pengeluar kenderaan perlu menguji sistem itu dan memohon untuk menjalankan ujian di jalan raya Switzerland.
Hanya selepas ujian yang memuaskan, lesen boleh dikeluarkan untuk pengoperasian sistem ini.
Menurutnya, sistem ini akan dimatikan secara automatik apabila melintasi sempadan Switzerland melalui teknologi 'geofencing', yang membolehkan sistem mengenali lokasi kenderaan dan mengesan jika ia berada di negara lain yang sistem itu tidak diluluskan.
Dengan peraturan baharu ini, Switzerland kini turut membenarkan pengoperasian kenderaan tanpa pemandu di laluan yang diluluskan secara rasmi, serta tempat letak kenderaan automatik tanpa pemandu di bangunan parkir bertingkat dan ruang parkir yang diluluskan. - Bernama-dpa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
