Citigroup tersilap pindahkan RM361 trilion ke akaun pelanggan

NEW YORK – Bank pelaburan antarabangsa, Citigroup secara tidak sengaja telah memindahkan sebanyak AS$81 trilion (RM361 trilion) ke akaun seorang pelanggan, sedangkan jumlah sebenar yang sepatutnya dikreditkan hanyalah AS$280 (RM1,249).
Reuters melaporkan bahawa kesilapan itu hanya disedari beberapa jam kemudian, sebelum transaksi tersebut berjaya dibatalkan, menurut laporan Financial Times (FT) pada Jumaat.
Kesilapan yang berlaku pada April tahun lalu itu tidak dapat dikesan oleh pekerja yang bertanggungjawab memproses transaksi, mahupun pegawai kedua yang ditugaskan untuk menyemak pembayaran sebelum ia disahkan untuk pemindahan pada hari berikutnya.
Bagaimanapun, seorang pekerja lain menyedari kesalahan tersebut satu jam setengah selepas transaksi diproses dan pihak bank berjaya membatalkan pemindahan itu beberapa jam kemudian.
Tiada dana yang keluar daripada Citigroup, dan bank itu telah memaklumkan kejadian berkenaan kepada Federal Reserve serta Pejabat Pengawal Mata Wang (OCC).
Dalam satu kenyataan kepada Reuters, Citigroup menjelaskan bahawa sistem kawalan mereka berjaya mengesan kesilapan input dalam dua akaun lejar dan segera membatalkan transaksi tersebut.
Pihak bank turut menegaskan bahawa kejadian ini tidak memberi kesan kepada pelanggan atau operasinya.
Menurut laporan dalaman yang dilihat oleh FT, sepanjang tahun lalu sahaja, terdapat 10 kesilapan transaksi bernilai AS$1 bilion (RM4.46 bilion) atau lebih di Citigroup, berkurangan daripada 13 kes pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, bank itu enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
Bulan lalu, Ketua Pegawai Kewangan Citigroup, Mark Mason, menyatakan bahawa bank tersebut sedang melabur lebih banyak dana untuk menangani isu pematuhan, terutamanya yang berkaitan dengan pengurusan risiko dan pemantauan data. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

