Kelewatan projek Rumah Pesona Johor, MB tegur kontraktor

Onn Hafiz ( kiri) melawat projek Rumah Pesona Johor (RPJ) yang sepatutnya siap tahun lalu. Foto Facebook Onn Hafiz
Onn Hafiz ( kiri) melawat projek Rumah Pesona Johor (RPJ) yang sepatutnya siap tahun lalu. Foto Facebook Onn Hafiz
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kelewatan projek Rumah Pesona Johor (RPJ) yang sepatutnya siap tahun lalu menimbulkan rasa tidak puas hati kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, projek berkenaan amat penting kerana ia berfungsi sebagai pusat perlindungan sementara bagi mangsa keganasan rumah tangga, selain menyediakan sokongan sosial dan psikologi kepada wanita yang memerlukan.

“Saya bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Johor, Khairin-Nisa Ismail, telah turun padang bagi meninjau sendiri perkembangan projek ini.

“Dalam lawatan ini, saya telah mengarahkan syarikat kontraktor yang dilantik supaya lebih proaktif dalam memastikan projek ini disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya.

Menurut beliau, kerajaan negeri memandang serius kelewatan projek pembangunan seperti ini kerana ia melibatkan kebajikan rakyat dan kesejahteraan masyarakat.

Onn Hafiz (dua dari kiri) melawat projek Rumah Pesona Johor (RPJ) yang sepatutnya siap tahun lalu. Foto Facebook Onn Hafiz
Onn Hafiz (dua dari kiri) melawat projek Rumah Pesona Johor (RPJ) yang sepatutnya siap tahun lalu. Foto Facebook Onn Hafiz

“Saya mahu laporan berkala mengenai kemajuan projek ini dikemukakan kepada kerajaan negeri bagi memastikan semua pihak bertanggungjawab terhadap peranan masing-masing.

“Kita tidak boleh berkompromi dalam soal pembangunan yang memberi kesan langsung kepada rakyat,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut memberi jaminan bahawa kerajaan negeri akan terus memantau perkembangan projek berkenaan sehingga ia siap sepenuhnya.

Ujarnya, RPJ merupakan inisiatif kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT).

Projek terbabit melibatkan kerja baik pulih, naik taraf serta pembinaan bangunan tambahan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti surau, bilik rawatan, bilik tidur serta perkhidmatan kaunseling dan psikoterapi.

Apabila siap kelak, pusat perlindungan ini dijangka mampu menempatkan sehingga 30 penghuni serta menyediakan pelbagai modul pemulihan termasuk program Keluarga Sakinah dan Latihan Kemahiran.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!