Penjenayah menyamar pekerja penghantar barang

Mohd Iqbal dalam sidang akhbar mengenai kejayaan polis menumpaskan kumpulan penjenayah di Shah Alam, Selangor.
Mohd Iqbal dalam sidang akhbar mengenai kejayaan polis menumpaskan kumpulan penjenayah di Shah Alam, Selangor.
A
A
A

SHAH ALAM - Menyamar pekerja penghantaran atau kontraktor untuk melakukan jenayah pecah rumah antara taktik atau modus operandi digunakan penjenayah di Lembah Klang.

Bukan itu sahaja, bagi memastikan kegiatan itu tidak mudah dikesan jiran kediaman, suspek akan melakukan pemantauan awal bagi mengetahui rumah yang akan dimasuki itu tiada penghuni termasuk akan menekan loceng rumah beberapa kali.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kebanyakan kes pecah rumah berlaku ketika cuti umum atau musim perayaan apabila rumah ditinggalkan kosong oleh pemiliknya.

“Penjenayah tidak bertindak secara rawak, sebaliknya melakukan pemantauan awal bagi memastikan rumah yang disasarkan benar-benar kosong sebelum mereka memecah masuk.

“Rumah yang tidak berpagar dan tidak dilengkapi sistem keselamatan lebih mudah menjadi sasaran berbanding kediaman dalam kawasan berpagar atau berpengawal,” katanya kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, baru-baru ini.

Mohd Iqbal ketika ditemu bual wartawan Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam baru-baru ini.
Mohd Iqbal ketika ditemu bual wartawan Sinar Harian di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam baru-baru ini.

Beliau memberitahu, polis juga mengesan penjenayah yang menyamar sebagai pekerja penghantaran atau kontraktor bagi mengelakkan kecurigaan jiran sebelum bertindak.

Penjenayah juga, tambah beliau, memilih rumah yang mempunyai laluan keluar mudah agar boleh meloloskan diri dengan cepat sekiranya disedari oleh penduduk sekitar.

Sehubungan itu, beliau menyarankan pemilik kediaman memasang kamera litar tertutup (CCTV) pintar yang boleh disambung ke telefon bimbit bagi memantau keadaan rumah sebagai langkah mengelak jadi sasaran penjenayah.

Artikel Berkaitan:

“Kaedah ini bukan sahaja mampu merakam kejadian, malah membolehkan pemilik rumah memantau kediaman mereka secara langsung walaupun berada di luar.

Selain itu, katanya, pemilik rumah juga digalakkan menyimpan barang berharga di tempat lebih selamat seperti peti besi berkualiti tinggi atau menggunakan perkhidmatan keselamatan di bank bagi mengurangkan risiko kehilangan.

Mengulas mengenai kegiatan curi kenderaan, beliau berkata, siasatan mendapati penjenayah menggunakan peranti canggih untuk memintas sistem keselamatan moden kenderaan.

“Bagi kes kecurian kenderaan utiliti sukan (SUV) dan trak pikap, penjenayah menggunakan alat penjejak (tracker) untuk mengekori kenderaan sasaran sebelum bertindak.

“Penjenayah dipercayai menggunakan peranti frekuensi radio untuk menggodam sistem tanpa kunci (keyless entry), membolehkan mereka membuka pintu dan menghidupkan enjin tanpa merosakkan kenderaan,” katanya.

Mohd Iqbal menunjukkan peralatan yang kerap digunakan oleh penjenayah.
Mohd Iqbal menunjukkan peralatan yang kerap digunakan oleh penjenayah.

Bagaimanapun, jelas beliau, taktik ini berbeza dengan kes curi motosikal kerana kecuaian pemiliknya termasuk tidak menggunakan sistem keselamatan tambahan antara faktor yang diambil peluang oleh pencuri.

“Motosikal yang dikunci dengan beberapa kunci tambahan lebih sukar dicuri kerana penjenayah akan mengambil masa lebih lama untuk kegiatan haram itu menyebabkan penjenayah enggan mengambil risiko,” kata beliau.

Menurutnya, pemilik kenderaan juga dinasihatkan supaya menyimpan kunci pendua sebagai langkah pencegahan berikutan kebanyakan kes kecurian kenderaan di sekitar daerah ini didapati berpunca daripada ketiadaan kunci simpanan.

"Ketiadaan kunci pendua memberi peluang kepada penjenayah melarikan kenderaan dengan lebih mudah tanpa perlu meninggalkan kesan pecah masuk yang jelas.

"Kebanyakan kes curi kenderaan di Shah Alam berlaku apabila penjenayah mengambil kesempatan ke atas kenderaan yang tidak mempunyai kunci pendua," katanya.

Selain kes pecah rumah dan curi kenderaan, beliau berkata, kes ragut dan samun turut diberikan perhatian pihaknya.

“Kegiatan jenayah ini kebanyakannya menyasarkan kedai serbaneka yang beroperasi 24 jam.

“Penjenayah biasanya bergerak secara berpasangan menaiki motosikal, dengan seorang bertindak sebagai penunggang dan seorang lagi meragut beg atau telefon bimbit sebelum melarikan diri,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati terutama mereka yang berjalan bersendirian di kawasan sunyi, khususnya wanita yang membawa beg tangan atau individu yang leka menggunakan telefon bimbit.

Mohd Iqbal menegaskan bahawa kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha membanteras jenayah di daerah ini.
Mohd Iqbal menegaskan bahawa kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha membanteras jenayah di daerah ini.

Katanya lagi, bagi kes samun, premis perniagaan yang beroperasi pada waktu malam sering menjadi sasaran utama.

“Dalam kebanyakan kes, mereka akan menunggu sehingga premis kurang pelanggan sebelum bertindak,” katanya.

33 KUMPULAN JENAYAH TUMBANG

Kata Mohd Iqbal, pada tahun lalu pihaknya menerusi pelbagai elemen Bahagian Siasatan Jenayah berjaya menumpaskan 33 kumpulan jenayah di Shah Alam termasuk Geng Hadi dan Geng Tapa.

"Geng Hadi dikenali kerana kegiatan pecah rumah mereka yang menyasarkan kediaman mewah termasuk rumah seorang pemain bola sepak Selangor.

"Sementara itu, Geng Tapa lebih agresif dan tidak memilih masa untuk melakukan jenayah. Mereka beroperasi dalam kumpulan besar dan menggunakan beberapa ahli kumpulan sebagai pemerhati untuk memberi isyarat sekiranya terdapat pergerakan mencurigakan di sekitar kawasan sasaran," katanya.

Jelasnya, kejayaan ini hasil tindakan IPD Shah Alam menerusi pelbagai operasi khas termasuk Op Lejang, Op Payung, Op Tiga Penjuru dan Op Propaganda.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!