Hon ‘tenonet’ boleh mengundang bahaya

SHAH ALAM – Ada segelintir pemandu kenderaan berat khususnya lori dan bas yang bertindak menyorokkan suis hon berirama atau 'tenonet' bagi mengelak dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Penggunaan hon itu seakan satu trend dalam kalangan pemandu sebagai hiburan apabila berselisihan dengan rakan pemandu yang lain, walaupun sedar melanggar peraturan jalan raya.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, semasa pemeriksaan, ada pemandu yang menukar mod hon kepada satu nada bagi mengaburi mata penguat kuasa.
“Bagaimanapun, pegawai kami sudah terlatih untuk mengesan sebarang pengubahsuaian haram, termasuk kewujudan suis rahsia yang dipasang.
“Siasatan mendapati pemasangan suis rahsia ini untuk membolehkan mereka menukar bunyi hon dengan mudah.
“Ketika melalui sekatan jalan raya atau operasi JPJ, mereka akan menukar hon kepada satu nada standard bagi mengelak dikenakan tindakan,” katanya kepada Sinar Harian, baru-baru ini.
Beliau memberitahu, taktik ini menyukarkan penguat kuasa kerana ketika diperiksa, lori-lori ini hanya mengeluarkan bunyi hon biasa, namun pemeriksaan teliti dilakukan kemudiannya menemukan suis berkenaan dipasang di tempat tersembunyi dalam kabin lori.
Menurutnya, trend hon berirama dalam kalangan pemandu lori bukanlah perkara baharu.
Jelas beliau, sejak kebelakangan ini, penggunaan hon berirama semakin berleluasa sehingga meningkatkan aduan daripada orang awam.

Azrin berkata, sebanyak 163 kesalahan berkaitan hon berirama direkodkan dalam tempoh sejak 2023.
“Pada 2023, sebanyak 58 kesalahan direkodkan, dengan 18 notis saman P(22), 18 notis larangan penggunaan kenderaan (PG1), dan 22 notis arah periksa di bawah Seksyen 61(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dikeluarkan.
“Pada 2024, jumlah kes meningkat kepada 93 kesalahan iaitu 29 notis P(22), notis PG1 (29 kes) dan 35 notis Seksyen 61(1) APJ 1987 dikeluarkan,” katanya.
Bagaimanapun, pada 2025 setakat Februari, terdapat 12 kesalahan dicatatkan.
Beliau berkata, tindakan ini diambil hasil penguatkuasaan ketat JPJ dan peningkatan kesedaran dalam kalangan pemandu lori.
RISIKO BAHAYA
Menurut Azrin, penggunaan hon berirama itu bukan sahaja mengganggu penduduk sekitar tetapi juga boleh menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya lain.
“Nada hon ini ada yang hampir menyerupai siren kenderaan kecemasan seperti polis, bomba, ambulans dan JPJ.
“Ini boleh menyebabkan pemandu lain tersilap memberi laluan atau bertindak balas secara panik, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan,” katanya.
Di kawasan perumahan, katanya, bunyi hon yang kuat dan berulang kali menimbulkan ketidakselesaan kepada penduduk khususnya kanak-kanak kecil dan warga emas.
“JPJ menerima banyak aduan daripada orang awam mengenai lori yang membunyikan hon bernada ini di kawasan perumahan termasuk pada waktu malam,” katanya.
Beliau berkata, pemandu kenderaan yang melakukan kesalahan ini boleh dikenakan notis PG1 bermaksud mereka tidak dibenarkan menggunakan hon tersebut sehingga ia diganti dengan hon standard.

“Selain itu, mereka juga boleh dikenakan notis arah periksa iaitu lori perlu dibawa ke JPJ untuk pemeriksaan semula bagi memastikan hon telah diganti mengikut peraturan,” kata beliau.
Tambahnya, bagi kesalahan lebih serius, saman JPJ P(22) boleh dikeluarkan, tetapi saman ini hanya boleh diselesaikan selepas hon lori disahkan telah ditukar oleh JPJ.
“Jika pemandu gagal menggantikan hon dalam tempoh yang ditetapkan, saman tambahan boleh dikenakan, malah kenderaan juga boleh ditahan oleh pihak berkuasa,” katanya.
Jelas Azrin lagi, walaupun penguatkuasaan semakin ketat, masih ada pemandu lori yang mendakwa tidak mengetahui bahawa penggunaan hon berirama merupakan satu kesalahan.
“Ada yang menganggap hon tenonet hanya sebagai hiburan atau sekadar ingin mencuba sesuatu yang unik tanpa menyedari kesannya terhadap pengguna jalan raya lain.
“Namun, alasan dangkal sebegini bukan alasan kukuh untuk mengelak tindakan penguatkuasaan diambil,” katanya.
TUKAR HON STANDARD
Menurut Azrin, setiap kenderaan yang dikenakan tindakan mesti menjalani pemeriksaan semula dalam tempoh tujuh hari untuk memastikan hon telah ditukar mengikut spesifikasi standard.
“Unit kesalahan teknikal JPJ akan menjalankan pemeriksaan ini dan memastikan bahawa saman JPJ P(22) hanya boleh dibayar selepas hon disahkan telah diganti.
“JPJ akan terus memperketat penguatkuasaan dan bekerjasama dengan syarikat lori bagi memastikan pematuhan peraturan demi keselamatan pengguna jalan raya dan ketenteraman awam," katanya.
Tambahnya, pelbagai kempen kesedaran telah dijalankan melalui Unit Keselamatan Jalan Raya, termasuk dalam audit JISA (Keselamatan Jalan Raya) yang turut merangkumi pemeriksaan fizikal kenderaan.
Beliau berkata, orang ramai digalakkan membuat aduan mengenai lori yang menggunakan hon bernada melalui aplikasi MyJPJ, e-Aduan, atau e-mel rasmi jabatan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

