Malaysia optimistik dapat muktamadkan perjanjian digital ASEAN menjelang akhir tahun

KOTA TINGGI - Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, sepenuhnya yakin blok itu dapat memuktamadkan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) tepat pada masanya untuk Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN pada akhir tahun ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, perbincangan mengenai DEFA telah mencapai kemajuan yang positif.
"Kita yakin berada di landasan (untuk memuktamadkannya). Perkara yang dipersetujui hari ini untuk memastikan kita menyelesaikannya tahun ini dan supaya negara anggota lebih fleksibel dalam pendekatan masing-masing,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Permukiman Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-31 di Desaru, di sini, Jumaat.
Beliau berkata, kalangan menteri ekonomi mengatakan keyakinan mengenai kepentingan DEFA untuk memberikan dorongan yang diperlukan bagi mempercepat transformasi digital ASEAN.
"Kita menyedari manfaat besar DEFA khususnya untuk perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) ASEAN serta PMKS negara anggota ASEAN," katanya.
Beliau berkata, negara anggota juga menjangkakan pemeteraian Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang ditambah baik dapat dilakukan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 akhir tahun ini.
Tengku Zafrul berkata, perbincangan kalangan menteri mengenai hubungan ekonomi ASEAN dengan rakan luar juga membuahkan hasil positif.
Ini termasuk mengadakan Sidang Kemuncak kedua ASEAN dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) semasa Sidang Kemuncak ASEAN pada Mei 2025 di samping Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang pertama di luar acara yang sama.
"Ini dilihat sebagai cara yang baik untuk melibatkan rakan luar ASEAN, dengan menjalinkan kerjasama baharu yang boleh membuka peluang baharu dalam memacu ekonomi kita," katanya.
Tengku Zafrul berkata, permukiman itu turut membincangkan status beberapa isu yang masih tertangguh dalam rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN-China 3.0.
"Ini diikuti dengan pengumuman mengenai kesimpulan penting oleh pemimpin ASEAN tahun lepas. Kita optimistik yang kita juga dapat menandatangani Protokol Naik Taraf tahun ini sebagai satu daripada Keberhasilan Ekonomi Berkeutamaan (PED) bagi kepengerusian ASEAN oleh Malaysia," katanya.
Tengku Zafrul berkata, Malaysia, sebagai negara penyelaras bagi India serta pengerusi bersama ASEAN bagi semakan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN-India (AITIGA), telah memaklumkan kalangan AEM mengenai kemajuan rundingan tersebut.
"Sebagai satu daripada PED untuk 2025, AITIGA dijangka dimuktamadkan tahun ini," katanya.
Selain itu, Tengku Zafrul berkata, memandangkan penyertaan Timor-Leste adalah keutamaan ketika kepengerusian ASEAN oleh Malaysia tahun ini, Malaysia amat berpandangan bahawa dengan penyertaan Timor-Leste sebagai negara anggota penuh ke-11, potensi dan pertumbuhan ekonomi serantau dapat diperkukuh.
Beliau berkata, semasa permukiman hari ini, delegasi telah mengadakan perbincangan dengan Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC), Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA), dan McKinsey.
"Kita membincangkan usaha, cadangan, dan input mereka mengenai aspek integrasi ekonomi tertentu di rantau ini," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
