Lebih RM1.8 bilion belanja air Kelantan: Berapa kilometer paip sudah dibaiki?

KOTA BHARU - Pertubuhan Pemikir Azam Kelantan (Azam Kelantan) menuntut penjelasan terperinci daripada kerajaan negeri berhubung penggunaan peruntukan lebih RM1.8 bilion untuk sektor air.
Koordinator Azam Kelantan, Nizam Muhamad berkata, selepas meneliti infografik belanjawan negeri bagi tempoh tiga tahun bermula 2023, tiada perincian khusus mengenai jumlah yang diperuntukkan untuk pembaikan paip air sejauh 4,000 kilometer.
“Kami menyedari jumlah besar diperuntukkan, tetapi sehingga kini tidak jelas berapa kilometer paip yang telah dibaiki dan akan dibaiki dalam tempoh terdekat.
“Majoriti peruntukan yang dinyatakan lebih tertumpu kepada penyelenggaraan sistem rawatan air dan pembinaan loji rawatan air, bukannya pembaikan paip yang menjadi isu utama rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Nizam berkata, kenyataan tersebut dibuat susulan penegasan yang disampaikan oleh Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Kelantan, Datuk Dr Izani Husin pada 27 Februari lalu yang menyatakan Kelantan telah menerima peruntukan daripada kerajaan persekutuan untuk menyelesaikan masalah paip lama.
Beliau berkata, sebelum ini berdasarkan kenyataan bekas Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti Kelantan, Datuk Azami Mohd Nor pada November 2022, masih terdapat 4,500 kilometer paip lama yang perlu dibaiki dengan anggaran kos RM1.3 bilion.
“Jika peruntukan yang ada digunakan secara optimum, sepatutnya sebahagian besar paip sudah dibaiki. Tetapi realitinya, terdapat pengguna yang masih mengadu masalah air berkarat dan gangguan bekalan,” ujarnya.
Tambah Nizam, Azam Kelantan tidak menolak kepentingan projek lain seperti pembinaan loji rawatan air baharu, tetapi isu utama rakyat ialah kualiti air yang tidak menepati keperluan pengguna.
“Sehingga kini, rakyat masih mengalami masalah yang sama. Ini menimbulkan persoalan, ke manakah hala tuju sebenar peruntukan air ini?
“Kami ingin tahu berapa banyak paip telah dibaiki sejak 2023 dan apakah pelan pembaikan paip untuk lima tahun akan datang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

