JKNP rampas kosmetik, racun berjadual bernilai RM1.2 juta

Antara kosmetik tidak tidak bernotifikasi yang dirampas hasil pemeriksaan ke atas sebuah premis perniagaan di Triang, Bera pada Khamis. Foto JKNP
Antara kosmetik tidak tidak bernotifikasi yang dirampas hasil pemeriksaan ke atas sebuah premis perniagaan di Triang, Bera pada Khamis. Foto JKNP
A
A
A

KUANTAN- Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) merampas 14 jenis kosmetik tidak bernotifikasi dan sejenis racun berjadual dianggarkan bernilai RM1.2 juta hasil pemeriksaan ke atas sebuah premis perniagaan di Triang, Bera pada Khamis.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Pahang (Kesihatan Awam), Datuk Dr Wan Abdul Rahim Wan Muhammad berkata, racun berjadual yang dijumpai adalah racun jenis tranexamic acid 99 peratus buatan China.

Menurutnya, ia dikilangkan dipercayai bertujuan untuk dicampur dalam kosmetik sebelum dijual kepada pengguna.

"Kejayaan ini hasil aduan orang awam yang diterima Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) Pahang berkenaan penjualan kosmetik tidak bernotifikasi melalui platform e-dagang.

"Hasil risikan, CPF Pahang berjaya membongkar kegiatan suspek yang didapati aktif menjual kosmetik yang tidak bernotifikasi secara dalam talian," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Dr Wan Abdul Rahim berkata, Ops Snow yang menyasarkan kosmetik tidak bernotifkasi yang dijual dalam talian itu diketuai CPF Pahang dengan kerjasama Ibu Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), CPF Negeri Sembilan, CPF Melaka dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai iklan atau testimoni di laman sesawang terutama yang membuat tuntutan tidak munasabah.

"Pastikan kosmetik bernotifikasi dengan KKM sebelum membuat pembelian," katanya.

Tambahnya, penjualan kosmetik tidak bernotifikasi melanggar Peraturan 18A(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 12(1) Akta Jualan Dadah 1952.

Artikel Berkaitan:

"Jika sabit kesalahan, hukumannya denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

"Bagi kesalahan berikutnya, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya," katanya.

Jelasnya, bagi syarikat yang melakukan kesalahan yang sama boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkenaan ubat-ubatan dan kosmetik yang meragukan menggunakan platform SOBAT melalui pautan https://beacons.ai/cpfpahang.

"Melalui platform itu juga, orang ramai boleh menyemak status notifikasi kosmetik melalui pautan yang disediakan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!