Kepelbagaian bangsa, agama perlu jadi sumber kekuatan

SHAH ALAM - Perbezaan politik, mazhab dan ideologi antara penyumbang kepada faktor perbalahan antara umat Islam sekali gus menyebabkan sukar untuk bersatu.
Pengarah Urusan Faqih Group Sdn Bhd, Mohd Dzul Khairi Mohd Noor berkata, perselisihan itu bukan sahaja melemahkan kekuatan umat malah memberi peluang kepada pihak luar untuk mengeksploitasikan kelemahan yang ada.
Menurutnya, kepelbagaian dari sudut bangsa, agama dan warna kulit seharusnya menjadi sumber kekuatan serta keharmonian, bukan alasan untuk perpecahan.
“ALLAH SWT telah menciptakan manusia berbeza-beza dari segi bangsa dan warna kulit untuk saling mengenali seperti yang dinyatakan dalam Surah Al-Hujurat ayat ke-13.
“Dalam sejarah Islam juga, Nabi Muhammad SAW telah menunjukkan contoh terbaik dalam menyatukan umat seperti yang dilakukan terhadap kaum Ansar dan Muhajirin di Madinah.
“Melalui peristiwa ini, jelas menunjukkan walaupun adanya perbezaan agama dan kaum, namun tidak menjadi alasan untuk masyarakat hidup harmoni serta bersatu padu,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai tonggak kesatuan dalam ayat 4 Surah Al-Saff yang dipilih dalam penganjuran World #QuranHour pada tahun ini.
Tambah Mohd Dzul, sunnah Rasulullah juga telah menetapkan bahawa perbezaan adalah fitrah yang tidak dapat dielakkan.
Beliau berpendapat, perbezaan pemikiran sepatutnya diraikan dan bukan menjadi punca kepada perbalahan.
“Dalam sejarah, Mazhab Shafie dan Maliki di Mesir pernah bertelagah, begitu juga dengan pengikut Mazhab Hanafi.
“Namun, hari ini kita melihat kepelbagaian mazhab sebagai satu keindahan dalam agama Islam,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Mohd Dzul Khairi berkata, kurangnya pemahaman terhadap sejarah perpaduan agama turut menjadi punca utama melemahkan perpaduan umat Islam.
Menurutnya, masyarakat Islam pada hari ini sepatutnya meneladani kisah persaudaraan Muhajirin dan Ansar bagi mengelakkan berlakunya konflik dalaman.
“Kita juga dinasihatkan untuk menjaga lisan melalui komunikasi dengan penuh hormat. Setiap perubahan juga perlu bermula dengan diri sendiri seperti mana yang ditekankan oleh Rasulullah SAW untuk menerima nasihat dengan hati terbuka.
“Jika umat Islam membudayakan nasihat, sikap bertolak ansur serta fokus kepada kebaikan bersama pasti perpaduan akan menjadi lebih kukuh,” katanya.
Jelasnya, dalam dunia semakin mencabar, perpaduan bukan sekadar satu pilihan tetapi ia keperluan untuk kembali menjadi umat yang kuat dan disegani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

