'Kita ada MMM tapi bimbang tiada roh'

MMM perlu dianggotai dan ditadbir urus sepenuhnya oleh penggiat industri tanpa campur tangan wakil kerajaan. (Gambar kecil: Manimaran) Foto 123RF
MMM perlu dianggotai dan ditadbir urus sepenuhnya oleh penggiat industri tanpa campur tangan wakil kerajaan. (Gambar kecil: Manimaran) Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Media Malaysia (MMM) perlu dianggotai dan ditadbir urus sepenuhnya oleh penggiat industri tanpa campur tangan wakil kerajaan demi merealisasikan matlamat penubuhannya termasuk mempertahan kebebasan media.

Perunding media, Dr G Manimaran berkata, perkara tersebut menjadi cabaran besar dalam memastikan fungsi MMM dapat dilaksanakan dengan baik seperti majlis media yang ada di negara luar, bahkan penubuhan majlis industri lain yang ada di negara ini.

Beliau percaya, matlamat kebebasan dan pertumbuhan industri media Malaysia akan lebih berkesan di bawah tadbir urus pihak industri, sekali gus menonjolkan imej lebih baik di peringkat antarabangsa.

“Persoalannya adalah sejauh mana ia akan menjadi kenyataan sebab kita lihat ada beberapa pihak menimbulkan kerisauan kebebasan tidak akan wujud sebab ada wakil kerajaan dalam majlis tersebut.

“Kita mahu tiada wakil kerajaan supaya majlis ini ditadbir urus sepenuhnya oleh pengamal media. Seperti kita boleh lihat di beberapa negara contohnya, United Kingdom (UK).

“Jadi harapan sebenar kita agar ia akan menjadi kenyataan kerana persepsi orang melihat badan itu wujud tapi bimbang akan ada tangan-tangan ghaib mengawal perjalanan (fungsi) dengan hantar wakil, beri dana dan sebagainya.

“Kita ada badan (MMM) tapi (bimbang) tiada roh. itulah cabarannya. Jadi kita harap keanggotaan dalam majlis itu akan mencerminkan semangat sebenar RUU (rang undang-undang) ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Industri media Malaysia melakar sejarah baharu apabila RUU MMM 2024 diluluskan Dewan Rakyat pada Rabu selepas 50 tahun penubuhannya dibincangkan.

RUU MMM 2024 yang mengandungi 23 Fasal itu dibentangkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching untuk bacaan kali pertama pada 12 Disember tahun lalu.

Ia antara lain bertujuan menubuhkan badan kawal selia kendiri bagi menjaga kepentingan media dan pengamal media.

Artikel Berkaitan:

Tambah Manimaran, undang-undang lain berkaitan media juga perlu dilonggarkan selari dengan semangat penubuhan MMM yang mempertahankan kebebasan media, seterusnya menjamin pertumbuhan industri media yang lebih mampan pada masa depan.

“Kebebasan akan meningkatkan dan mengukuhkan kredibiliti media. Semuanya berkait antara satu sama lain...kebebasan, kredibiliti, integriti dan kebolehpasaran bahan-bahan yang disediakan media,” ujarnya.

Sementara itu, Tokoh Wartawan Veteran, Datuk A Kadir Jasin berkata, pelaksanaan dan semangat RUU MMM perlu kukuh dan beliau percaya sekiranya pengamal media yang menganggotai majlis tersebut tegas mempertahankan agar tiada campur tangan luar, fungsi majlis tersebut akan lebih berkesan.

Bagaimanapun tegas beliau, perkara lebih penting adalah peranan wartawan yang memahami fungsi dan berani menulis.

“Masih ramai wartawan tidak berani menulis perkara-perkara kritikal, membuat penyelidikan, penyiasatan dan mengkritik,” katanya.

Sehubungan itu, beliau juga senada menggesa mana-mana akta yang bercanggah dengan kebebasan akhbar dikaji semula sebagaimana pernah dibincangkan.

“Saya rasa kerajaan yang bersilih ganti pun dah buat pengumuman nak kaji, nak pinda. Harap orang yang berjanji tunaikan janji.

“Jadi walaupun kita ada majlis media, kesimpulannya masih ada lagi kekangan terhadap kebebasan dan integriti media di Malaysia,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!