Malaysia lebih besar daripada Mahathir

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah pembubaran Parlimen adalah jalan terbaik untuk menentukan kepimpinan negara dan pembentukan kerajaan baharu berasaskan prinsip demokrasi.

Penganalisis politik bebas, Dr Jeniri Amir berkata, beliau bersetuju dengan pandangan kepimpinan Muafakat Nasional menuntut keputusan pembubaran Dewan Rakyat dengan syor berkenaan telahpun dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam.

Menurutnya, rakyat Malaysia adalah entiti paling layak menentukan kepimpinan kerajaan baharu kerana negara bukan hanya milik 222 ahli Parlimen semata-mata.

“Kita tidak mahu pembentukan kerajaan baharu dipengaruhi percaturan politik ahli-ahli Parlimen yang sesetengahnya mempunyai agenda peribadi dengan sebahagian rundingan antara mereka dibuat membabitkan habuan tunai dan kes mahkamah dihadapi diselesaikan secara ‘tutup buku’.

“Saya berpandangan pembentukan kerajaan baharu perlu memiliki legitimasi dari segi perundangan dan moral sekiranya negara mahu sistem demokrasi diamalkan dihormati rakyat dan dunia,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Jeniri berkata, konflik peralihan kerajaan ketika ini tidak mewajarkan mana-mana pemimpin politik membuat percaturan belakang tabir dengan memanipulasikan kuasa dimiliki mereka sekali gus mengenepikan suara rakyat.

Katanya, negara adalah jauh lebih besar daripada mana-mana tokoh kepimpinan politik dengan rakyat sebenarnya merupakan penentu utama survival negara.“Ia bukan lagi soal (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim), (Datuk Seri Mohamed) Azmin (Ali) dan Tun Dr Mahathir Mohamad dan saya percaya kita mempunyai lebih ramai pemimpin lebih baik daripada itu.

“Saya percaya Yang di-Pertuan Agong memiliki kebijaksanaan untuk memutuskan perkara terbaik kepada rakyat bagi mengelakkan mereka berasa muak dengan politik tidak berkesudahan dan merasakan keputusan pilihan raya umum tidak bermakna,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pandangan berbeza pula disuarakan penganalisis politik daripada Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi yang menjangkakan sebuah kerajaan minoriti akan terbentuk susulan keputusan terkini kepimpinan Muafakat Nasional semalam.

Menurutnya, pembentukan kerajaan minoriti adalah langkah terbaik kerana kerajaan baharu yang akan terbentuk itu tanpa penglibatan parti politik.

“Sekiranya penarikan sokongan pemimpin Muafakat Nasional terhadap kepimpinan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri benar-benar berlaku, Dr Mahathir masih boleh membentuk kerajaan minoriti.

“Sifat kerajaan minoriti adalah pembentukan Kabinet kerajaan tidak lagi mempertimbangkan kuota parti dan senario ini pastinya akan membolehkan Dr Mahathir memilih pemimpin dalam kalangan ahli politik berwibawa,” katanya.

Beliau berkata, pembentukan kerajaan minoriti bukan merupakan satu perkara janggal kerana ia merupakan amalan kebiasaan negara seperti Denmark dan Republik Czech.

Katanya, kerajaan minoriti juga akan bersifat lebih bebas membuat keputusan dan tidak terikat dengan fahaman mana-mana parti.

“Dengan cara ini, Dr Mahathir akan mempunyai keupayaan memilih mana-mana pemimpin menyokong beliau yang mempunyai ketelusan berkhidmat kepada rakyat, berbanding bersikap tangkap pukal.“Sekiranya Dr Mahathir berjaya meraih sokongan majoriti menjadi Perdana Menteri, langkah terbaik adalah memerintah negara menerusi kerajaan tanpa parti sehingga pilihan raya umum ke-15.

“Bagaimanapun, pembentukan kerajaan minoriti masih dianggap relevan dan menjamin keutuhan negara sekiranya itu pilihan terakhir yang tinggal,” katanya.