Kutipan taksiran cukai berbangkit turun lebih RM5 bilion, LHDNM didesak kawal ketirisan - PAC

SHAH ALAM - Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendapati Pengurusan Akaun Belum Terima Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (ABT LHDNM) pada 2023 menunjukkan penurunan ketara sebanyak RM5.794 bilion iaitu 14.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN), jumlah ABT LHDNM pada tahun 2023 adalah RM34.591 bilion, berbanding RM40.385 bilion pada 2022 yang berpunca daripada tindakan hapus kira dan taksiran kurangan.
Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya telah mengadakan tiga prosiding berdasarkan isu tersebut pada 5 dan 26 November 2024 dan 4 Februari tahun ini melibatkan keterangan daripada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM dan wakil Kementerian Kewangan.
“Antara dapatan utama PAC adalah peningkatan mendadak ABT LHDNM sejak 2017 hingga 2021 yang mencapai RM43.693 bilion sebelum menurun pada 2023.
“Faktor utama taksiran kurangan termasuk rayuan pembayar cukai iaitu 56.2 peratus, keputusan mahkamah (8.2 peratus) dan pengecualian cukai (35.6 peratus),” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ermieyati turut menegaskan, kawalan ketat perlu dilaksanakan terhadap kuasa kelulusan taksiran kurangan bagi mengelakkan berlakunya ketirisan.
Katanya, sebagai langkah penambahbaikan, pihaknya juga mengesyorkan lima tindakan utama termasuk pemantapan pematuhan cukai, mengetatkan undang-undang serta pelaksanaan sistem e-Invois bagi meningkatkan kecekapan pemungutan cukai.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

