Kenapa kerajaan PH runtuh?

 Bangunan Perdana Putra -Foto Bernama
Bangunan Perdana Putra -Foto Bernama
A
A
A

HARI ini rakyat Malaysia terpinga-terpinga dengan 1,001 soalan. Soalan paling utama adalah mengapa kerajaan PH tiba-tiba runtuh?

Jawapannya tidak lain daripada tindakan Datuk Seri Anwar Ibrahim ingin melakukan coup de grace iaitu pukulan maut terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri.

Jika itu berjaya dilakukan, Dr Mahathir akan menjadi lame duck Prime Minister. Itu yang dikatakan kelmarin oleh Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membentuk blok bebas.

Mohamed Azmin telah berulang kali membuat kenyataan peralihan kuasa di tengah penggal akan memberi isyarat yang salah kepada rakyat, khususnya masyarakat pelabur.

Sikap politik beliau konsisten mengutamakan kestabilan untuk memberikan tumpuan kepada persoalan rakyat. Itu ditegaskan beliau dalam ucapan dan media sosial. Itu beliau kotakan sebagai Datuk Menteri Besar Selangor meskipun terdapat tekanan daripada DAP untuk menyingkirkan Pas daripada kerajaan negeri setelah Pas keluar daripada Pakatan Rakyat.

Telah berbulan-bulan wacana peralihan kuasa mengambil tempat dalam wacana perdana menggantikan wacana pemulihan ekonomi, reformasi institusi dan inisiatif mengangkat martabat ekonomi rakyat.

Tahun 2020 merupakan tahun penting bagi Malaysia kerana Rancangan Malaysia ke-12 perlu dibentangkan di Dewan Rakyat dan penganjuran Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik 2020 (APEC 2020) di Kuala Lumpur.

Menggugat kestabilan kerajaan yang sedang rancak membuat persiapan untuk Persidangan APEC merupakan pengkhianatan yang tidak boleh dimaafkan.

Artikel Berkaitan:

Dalam hal ini, Anwar bermain politik talam dua muka. Beliau membuat kenyataan-kenyataan terbuka mendokong dan memberi ruang kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri serta tidak mahu Dr Mahathir dan beliau sendiri diasak untuk menamakan tarikh peralihan kuasa.

Tetapi di alam gelap, mantan banduan dua kali tersebut mengarahkan kitol-kitolnya meningkatkan paluan gendang peralihan kuasa. Keceluparan tersebut mencapai tahap tinggi dan meningkatkan kepanasan barometer politik dengan kenyataan seorang kitol: “Kalau Tun Mahathir tidak turun, kami akan tunjukkan jalannya.”

Dalam senario itu, Mohamed Azmin perlu sentiasa bersiap sedia. Beliau hanya membuat kenyataan politik pada tahap minimum kerana memberikan tumpuan kepada menyediakan Rancangan Malaysia ke-12. Namun beliau menghidu implikasi politik daripada peningkatan kelantangan wacana peralihan kuasa.

Kedudukan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri merupakan paksi kestabilan kerajaan dan kelangsungan dasar-dasar kerajaan yang terbentuk selepas 9 Mac 2018. Mohamed Azmin bersedia melakukan apa sahaja untuk mempertahankan Dr Mahathir kekal berkhidmat sepenuh penggalnya.

* Datuk Khalid Jaafar ialah Pengerusi Institut Kajian Dasar (IKD)