'Satu lagi perangkap buaya dipasang, guna umpan ayam hidup' - Perhilitan

KUALA LUMPUR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) memasang satu lagi perangkap untuk menangkap seekor buaya dewasa di Sungai Klang, di sini pada Selasa.
Pengarah Jabatan Perhilitan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Ishak Muhamad berkata, perangkap kedua menggunakan umpan ayam hidup.
"Perangkap pertama masih ditempatkan berhampiran sebuah pusat beli-belah terkenal.
"Usaha menangkap reptilia itu masih dijalankan pasukan operasi dengan pemasangan perangkap kedua di sungai sekitar Seputeh," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Tambahnya, Perhilitan turut menggunakan dron untuk melihat kedudukan buaya berkenaan.
20 Februari lepas, Jabatan Perhilitan dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) telah memasang perangkap untuk menangkap seekor buaya di sungai terbabit.
Perhilitan turut menasihatkan orang ramai supaya menjauhi kawasan tersebut sehingga buaya itu berjaya ditangkap dengan selamat.
Berdasarkan rakaman video yang tular sejak beberapa hari lepas, Jabatan Perhilitan mengesyaki ia adalah buaya yang sama yang tular dilihat berhampiran Masjid Jamek.
Pada 8 Februari, kecoh di media sosial selepas tular menunjukkan seekor buaya di sungai berhampiran Masjid Jamek.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
