Nisan kerek kiub semakin popular

MARANG – Idea kreatif pasangan suami isteri dari Kampung Jenang di sini memperkenalkan manisan tradisional Terengganu iaitu nisan kerek dalam bentuk kiub mendapat sambutan hangat.
Nor Afila Faizan, 28, berkata, pemanis yang dihasilkan bersama suaminya, Nazif Ikhwan Mohamad, 29, mendapat permintaan tinggi selepas dipasarkan melalui media sosial.
Menurutnya, permintaan terhadap manisan popular masyarakat Pantai Timur itu bertambah menjelang Ramadan tahun ini.

“Saya terfikir untuk menghasilkan nisan dalam bentuk kiub selepas mendengar keluhan pelanggan yang terpaksa memotong nisan kerek kepingan kepada bentuk lebih kecil dan ia melambatkan proses memasak.
“Jadi, dengan adanya nisan kerek kiub ini, ia secara tidak langsung memudahkan terutama golongan ibu untuk memasak di dapur,” katanya kepada Sinar Harian.
Selain nisan kerek kiub, Nor Afila turut menghasilkan nisan kerek berbentuk leper dan bulat menggunakan daun mengkuang sebagai acuan.
“Selain dijual melalui media sosial, saya turut menerima tempahan untuk dijadikan cenderahati pada majlis-majlis keraian dan sebagainya.

“Bukan sahaja pada bulan puasa dan hari raya, permintaan terhadap nisan kerek ini juga meningkat pada musim cuti persekolahan kerana ramai yang mengadakan majlis perkahwinan atau akikah ketika itu,” katanya.
Nor Afila berkata, ramuan asli nisan kerek Terengganu yang menggunakan air nira kelapa itu diwarisi daripada ibu mentuanya, Masna Mukhatar, 61.
Katanya, dia mula mempelajari kaedah pembuatan makanan tradisional itu sejak mendirikan rumah tangga bersama suaminya lapan tahun lalu.
Sementara itu, Nazif Ikhwan berkata, dia akan menyediakan ramuan untuk menghasilkan nisan kerek selepas Subuh dan proses pembuatan biasanya siap menjelang Zohor.
“Selain air nira kelapa, kami turut menggunakan kayu cengal yang memberikan rasa luar biasa dan bau harum sekali gus membezakan nisan kerek asli Terengganu dengan tempat lain.
“Jika pada hari biasa, kami mampu menghasilkan sekitar 300 keping nisan bersaiz besar sehari tetapi menjelang Ramadan jumlah itu meningkat kepada 600 hingga 700 keping sehari,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
