Tak menang tangan penuhi permintaan telur masin

Pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Marjunidy menunjukkan telur masin yang dihasilkan.
Pelajar Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Marjunidy menunjukkan telur masin yang dihasilkan.
A
A
A

PONTIAN - Ternakan itik telur yang diusahakan sejak tiga tahun lalu oleh Maahad Tahfiz Al-Quran Al-Marjunidy di Kampung Parit Marjunit, Benut di sini mampu menjana pendapatan sampingan setiap kali menjelang Ramadan menerusi penjualan telur masin.

Pengurus madrasah, Nor Haziqah Mohd Kasmadi berkata, susulan itu stok telur masin hampir 10,000 biji sudah disiapkan bagi menampung permintaan sepanjang Ramadan nanti.

“Alhamdulilah, peningkatan hasil jualan ketika Ramadan memberi rezeki kepada maahad tahfiz ini yang kini mempunyai seramai 20 pelajar lelaki.

“Bermula dengan 200 ekor itik termasuk yang diterima daripada agensi kerajaan, bilangannya terus bertambah kepada 500 ekor itik.

"Jumlah ini membantu kami menghasilkan lebih banyak telur masin,” katanya.

Nor Haziqah berkata, setiap hari hampir 500 biji telur dikutip dan diproses menjadi telur masin sama ada melalui proses pemasinan atau sekam padi.

“Telur itik akan dikutip pelajar dan penduduk kampung yang membantu menghasilkan telur masin. Ia akan direndam dalam air garam selama dua minggu.

“Bagi proses sekam padi pula, telur masin yang disalut dengan sekam padi akan dibiarkan selama beberapa minggu atau beberapa bulan.

Artikel Berkaitan:

"Proses ini lebih lama berbanding direndam dengan air garam,” katanya.

Jelasnya, stok telur masin yang disediakan dalam 200 kotak iaitu hampir 10,000 biji itu mencukupi dan mampu bertahan memenuhi permintaan pelanggan.

“Setiap kotak mempunyai 50 biji telur masin yang berharga 90 sen sebiji. Syukur, hingga kini permintaan sentiasa ada.

“Setiap kali Ramadan tiba, permintaan terhadap telur masin meningkat kerana ia menjadi pilihan popular sebagai hidangan pembuka selera, terutama ketika sahur,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!