Remaja dakwa dirogol bapa saudara sejak Ogos tahun lalu

KAJANG - Perbuatan terkutuk seorang lelaki yang didakwa merogol anak saudaranya sejak Ogos tahun lalu terbongkar selepas mangsa membuat laporan polis pada Khamis
Susulan itu suspek yang merupakan lelaki tempatan itu diberkas hari yang sama bagi siasatan lanjut berhubung kejadian.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, laporan dibuat mangsa yang merupakan warga tempatan kira-kira jam 4.35 pagi.
"Mangsa yang di bawah umur itu telah membuat laporan polis menyatakan telah dirogol oleh bapa saudaranya.
"Kejadian dipercayai berlaku pada Ogos 2024 dan yang terbaru pada Januari tahun ini di kawasan Semenyih," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, bertindak atas maklumat, suspek yang berumur 43 tahun itu kemudiannya ditahan.
"Suspek kini direman empat hari untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat dibawah Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan," katanya.
Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kejadian boleh berhubung dengan mana-mana balai berdekatan.
"Sebarang maklumat juga boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Nursyaza Farhah Samhairi di talian 017-6919817," katanya.
End.....
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

