Polis giat kesan juruteknik hotel hilang sejak 10 hari lalu

Polis sedang giat mengesan Muhamad Syahir yang dilaporkan hilang sejak 18 Februari lalu.
Polis sedang giat mengesan Muhamad Syahir yang dilaporkan hilang sejak 18 Februari lalu.
A
A
A

GEORGE TOWN - Polis sedang giat mengesan seorang pemuda yang dilaporkan hilang selepas pulang dari tempat kerjanya di sebuah hotel di Jalan Bukit Gambir di sini sejak 18 Februari lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, mangsa yang dikenali sebagai Muhamad Syahir Ghazali, 30 dipercayai keluar dari hotel berkenaan dengan memakai uniform kerja, namun tidak pulang ke asrama penginapan yang disediakan majikan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati tiada sebarang perselisihan faham atau pergaduhan antara lelaki itu dengan ahli keluarga atau rakan-rakannya.

“Setakat ini, kita telah merakamkan keterangan keluarga serta rakan sekerja mangsa dan menolak kemungkinan dia hilang akibat perselisihan faham.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lokasi atau lelaki berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan, ibu bapa mangsa dari Perak telah datang ke negeri ini selepas gagal menghubungi anak mereka itu.

Bapanya, Ghazali Ismail, 66, berkata, dia buntu dan bimbang dengan kehilangan anaknya yang masuk hari ke 10.

Menurutnya, usaha untuk mengesan Muhamad Syahir sukar apabila anaknya tidak membawa telefon bimbitnya.

Ghazali berkata, dia hanya mengetahui mengenai kehilangan anaknya itu selepas dihubungi penyelia hotel pada 20 Februari lalu yang memaklumkan mangsa sudah tiga hari tidak hadir bekerja.

Artikel Berkaitan:

Muhamad Syahir bekerja sebagai juruteknik di hotel berkenaan dan tinggal di asrama yang disediakan oleh majikan.

Ghazali yang menetap di Kampung Tersusun Haji Tahir, Temoh, Perak berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anaknya dapat membantu usaha pencarian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!