Ibu dakwa bantuan tiba lewat, bayi lemah terperangkap 2 jam dalam lif

SHAH ALAM - Mangsa yang terperangkap lebih dua jam dalam lif terkilan kerana mendakwa bantuan daripada pihak pengurusan hotel tiba lewat sehinggakan bayinya, Putri Nur Alisha Mohd Kamil, 13 bulan, tidak bermaya ketika diselamatkan anggota bomba.
Surirumah, Intan Noratini Rahim, 30, berkata, kejadian bermula apabila dia sekeluarga diundang ke majlis perkahwinan kenalan di aras lima hotel tersebut.
Menurutnya, dia bukan sahaja tidak dapat hadir ke majlis perkahwinan gara-gara insiden berkenaan, malah terpaksa berdepan ujian keluarga ‘lemas’ dalam ruang sempit dan kedap itu.
“Kami terperangkap dari jam 9.10 malam hingga 11.20 malam, memang panik dan panas keadaan dalam lif semuanya berpeluh.
"Kemudian, kami hubungi pasukan selenggara hotel yang tertera pada lif dan beritahu mahu telefon pihak bomba.

“Tetapi, mereka kata tak perlu sebab bomba tak ada kena-mengena dengan lif, pelik juga jadi kami tunggu sahaja selepas 30 minit masih tak sampai. Banyak kali tekan butang kecemasan akhirnya ada respons suruh tunggu," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Dia berkata, anak-anaknya yang lain daripada bermain dan bersembang tiba-tiba senyap manakala bayinya pula kerap menangis.
"Ketika pujuk dengan beri susu, kami perasan riak wajahnya berubah macam nak pengsan kerana oksigen berkurangan,” katanya.
Sebelum ini, tular di TikTok memaparkan 12 mangsa termasuk tiga kanak-kanak dan seorang bayi perempuan terperangkap dalam lif sebuah hotel di Kulim, Kedah pada Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azwan Hamdan memaklumkan, mangsa lain terdiri daripada dua lelaki dan enam wanita dewasa.
Jelasnya, tindakan operasi ketika itu adalah mengeluarkan mangsa melalui pintu atas siling lif.
Bagaimanapun, kata beliau, kesemuanya berjaya diselamatkan dan tiada mangsa dilaporkan cedera.
Intan Noratini memberitahu, keadaan menjadi lebih buruk apabila lampu dan kipas dalam lif terpadam beberapa kali difahamkan bagi tujuan baik pulih sistem.
Tambahnya, meskipun berdepan situasi getir sedemikian rupa, dia tidak mahu kelihatan terlalu cemas di hadapan anak-anak, suami dan ahli keluarganya kerana bimbang perkara lain yang tidak diingini berlaku.
“Kiranya kami duduk dalam gelap, tak ada cahaya atau angin langsung. Jadi, terpaksalah kopak sedikit pintu lif untuk bagi angin masuk.
“Tetapi, Alhamdulillah saya bersyukur sebab anak-anak terutama bayi stabil dan semuanya selamat, cuma terkilan dengan pengurusan hotel sehingga sekarang tiada permohonan maaf dibuat.
“Semoga semua orang lebih berhati hati dan pihak hotel wajib ambil serius terhadap keselamatan tetamu selepas ini,” ujar ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

