Program Himpunan Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat Khamis ini

KUANTAN - Kerajaan negeri akan menganjurkan 'Program Himpunan Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat' Khamis ini bagi menunjukkan solidariti rakyat kepada Institusi Diraja Pahang.
Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob berkata, program itu manifestasi kepada penyatuan rakyat Pahang yang bernaung di bawah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan juga fahaman politik.
Menurutnya, program itu akan bermula jam 7 petang di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini dimulai dengan solat Maghrib, solat hajat, bacaan surah Yasin, doa selamat dan solat Isyak.
"Seterusnya, program akan diteruskan di padang Majlis Bandaraya Kuantan 1 (MBK1) dengan ceramah Timbalan Mufti Negeri Pahang, Datuk Badli Shah Alauddin.
"Baginda Sultan Pahang turut berkenan berangkat ke program di Masjid Negeri," katanya melalui kenyataan pada Selasa.
Zulkifli berkata, orang ramai dijemput hadir dan digalakkan memakai pakaian kebangsaan.
"Sebarang pakaian berlambangkan atau mewakili mana-mana parti politik tidak dibenarkan.
"Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Pahang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kawalan keselamatan sepanjang program itu," katanya.
Tambah beliau, orang ramai diminta tidak menimbulkan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan suasana tidak harmoni.
"Kerajaan negeri berharap pelaksanaan program ini akan mencapai objektif penyatuan rakyat dalam memartabatkan Institusi Raja Berdaulat di negeri ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

