Pas nafi arah boikot 'Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat'

Rosli
Rosli
A
A
A

KUANTAN - Pas Pahang menafikan ada mengeluarkan arahan untuk memboikot program 'Pahang Bermunajat, Raja Berdaulat' yang dijadualkan berlangsung di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 di sini pada Khamis.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar berkata, ia susulan hantaran palsu kononnya parti itu mengarahkan supaya program terbabit diboikot.

"Sebagai Pesuruhjaya Pas Pahang, saya tegaskan bahawa pimpinan Pas Pahang tidak pernah keluarkan arahan untuk boikot program tersebut.

"Untuk itu, dengan ini saya mengarahkan semua ahli Pas Pahang mesti hadir seramai mungkin sebagai solidariti kami kepada Tuanku Sultan Pahang dan institusi diraja Pahang," katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Jelasnya, semua ahli mesti hadir dan memakai baju hijau sebagai bukti bahawa parti itu tidak boikot program tersebut.

"Ia juga bukti kami kasih dan tetap bersama dengan raja kami," tambahnya lagi.

Sebelum ini pada Selasa, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaacob berkata, program itu manifestasi kepada penyatuan rakyat Pahang yang bernaung di bawah Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah tanpa mengira latar belakang kaum, agama dan juga fahaman politik.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!