Suami isteri sepakat wakaf 2.83 hektar tanah

KUANTAN – Sepasang suami isteri telah mewakafkan tanah seluas 2.83 hektar milik mereka di Kampung Lebu, Bentong bagi tujuan pembangunan pusat pengajian warga emas dan agama.
Pewakaf, Mohd Norawi Abdul Rahman, 57, berkata, keputusan itu dibuat setelah merasakan dirinya tidak berkemampuan untuk membangunkan tanah tersebut secara sendiri.
"Tanah itu milik saya dan isteri, jadi kami sepakat untuk mewakafkannya kepada Wakaf Pahang.
"Saya fikir lebih baik ia dimanfaatkan untuk pembangunan berkaitan keagamaan dan mencari pihak yang boleh menguruskan pembangunannya," katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas Majlis Pelantikan Mutawalli Khas Wakaf anjuran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) di Dewan Perdana, sebuah hotel di sini, pada Selasa.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua MUIP, Tengku Panglima Raja Brigadier Jeneral, Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah.
Seramai 30 individu telah dilantik sebagai Mutawalli Khas Wakaf Pahang dan mereka bertanggungjawab memastikan tanah wakaf diurus secara berstruktur dan memberi manfaat kepada umat Islam.
Mohd Norawi, yang juga bapa kepada dua anak berkata, dia bertemu dengan pembimbing Yayasan Husnol Khatimah, Datuk Dr Hassan Mat Ali yang berminat untuk membangunkan pusat pengajian tersebut.
Menurutnya, sejak pertemuan itu, urusan wakaf dan pembinaan berjalan dengan lancar.
"Saya bersyukur dan gembira melihat tanah yang diwakafkan kini giat dibangunkan," ujarnya.
Sementara itu, Tengku Amir Nasser berkata, tanah wakaf bukan sekadar simbol kebajikan pewakaf, tetapi juga menjadi aset penting dalam pembangunan ummah yang berterusan.
Jelasnya, MUIP sebagai institusi yang diamanahkan, akan terus berusaha mempertahankan hak pewakaf agar harta yang disumbangkan kekal terpelihara, dimakmurkan, dan dimanfaatkan oleh generasi kini serta akan datang.
"Insya-ALLAH, komitmen ini akan terus dijunjung demi memastikan amanah pewakaf terpelihara hingga ke akhir hayat," katanya.
Menyentuh mengenai pelantikan Mutawalli Khas, Tengku Amir Nasser berkata, majlis ini menandakan satu detik bersejarah dalam usaha memperkukuhkan sistem pengurusan wakaf di Pahang.
Jelasnya, pelantikan itu melambangkan komitmen MUIP dalam memastikan tanah wakaf diurus secara lebih berstruktur, cekap, dan memberi manfaat jangka panjang kepada umat Islam, selaras dengan Enakmen Wakaf Pahang 2022.
"Ia ini bukan sekadar pengisian jawatan, tetapi satu amanah besar yang memerlukan keikhlasan serta dedikasi tinggi.
"Setiap Mutawalli Khas perlu memastikan aset wakaf dipelihara, dikembangkan, dan dimanfaatkan sebaiknya demi kepentingan umat Islam, selain memastikan pengurusan wakaf sentiasa mematuhi hukum syarak serta perundangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

