Sidang DUN Johor 5 Mac masih jadi tanda tanya

Suhaizan Kaiat
Suhaizan Kaiat
A
A
A

KULAI - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang dijadualkan pada 5 Mac masih menjadi tanda tanya susulan situasi terkini politik negara.

Speaker Dewan Negeri Johor, Suhaizan Kaiat berkata, beliau memantau secara dekat perkembangan politik semasa terutama situasi yang berlaku selepas pembubaran Kabinet kelmarin.

“Dari segi tanggungjawab saya sebagai Speaker, ia seperti biasa, tiada sebarang perubahan. Semalam (kelmarin) saya sempat bersama Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal untuk membuat persediaan persidangan pada 5 Mac ini.

"Jadi sekarang, pentadbiran (Dewan Negeri Johor) masih berjalan seperti biasa. Saya akan memerhati adakah kerajaan negeri bersedia untuk persidangan itu dan berbincang dengan penasihat undang-undang selewat-lewatnya Khamis ini,” katanya.

Menurutnya, sebarang keputusan perlu dibuat dalam masa lima hari sebelum sesuatu persidangan dewan dijalankan.

"Kuasa penundaan persidangan terletak di bawah kuasa Speaker berdasarkan nasihat penasihat undang-undang," katanya.

Dalam pada itu, Suhaizan berkata, pembentukan kerajaan perlu dilakukan mengikut proses Undang-Undang Tubuh Negeri Johor termasuk mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar.

"Setakat ini, tiada pengumuman rasmi daripada Menteri Besar mahupun kerajaan negeri berkaitan pentadbiran kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Hasni Mohammad yang mengatakan bahawa BN Johor mampu meraih sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, beberapa Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri yang dihubungi menyatakan bahawa mereka masih menjalankan tugas-tugas mereka seperti biasa.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, DAP dan UMNO masing-masing mempunyai 14 kerusi daripada 56 kerusi DUN Johor, manakala Bersatu (11), Amanah (sembilan), PKR (lima), MIC (dua) dan Pas (satu). - Bernama