Lelaki tular lori rempuh rumah didenda RM5,000

Muhammad Zulhairul Idham (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.
Muhammad Zulhairul Idham (dua dari kiri) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa.
A
A
A

ALOR GAJAH - Gara-gara terjun dari lori bagi mengelak ditahan penguat kuasa hingga mengakibatkan kenderaan itu merempuh sebuah rumah, seorang pemandu lori didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret Alor Gajah di sini, pada Selasa.

Majistret Dr Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Zulhairul Idham Zulkamal, 27, sejurus dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, dia telah sukarela menghalang penjawat awam seorang pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam menjalankan fungsi jawatannya.

Tindakan itu didakwa dilakukan di susur keluar Lebuh Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh (SPA) menghala ke Lebuh Ayer Keroh, kira-kira jam 4.30 petang, pada Rabu lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, sabit kesalahan.

Tertuduh juga mengaku bersalah atas pertuduhan memberikan diri sendiri dadah jenis methamphetamine di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Alor Gajah di sini, pada jam 10.15 malam hari sama.

Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang dibaca bersama Seksyen 38B akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana baru bekerja sebagai sebagai pemandu lori selain menyara bayi sulungnya berusia dua bulan.

Tertuduh turut mengaku cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa kerana tidak memiliki lLesen CDL (Lesen Memandu Kompeten) dan GDL (Lesen Memandu Barangan).

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya, Fikri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal dan menawarkan ikat jamin RM5,000 bagi kesalahan dadah.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 atau penjara enam bulan sekiranya gagal bayar bagi kesalahan menghalang tugas penjawat awam.

Bagi kesalahan dadah, mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 23 April depan untuk sebutan semula kes serta serahan laporan patologi.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan seorang pemandu lori bertindak terjun dari kenderaan yang sedang bergerak bagi mengelak ditahan penguat kuasa di Taman Krubong Jaya.

Dalam kejadian itu, tindakan lelaki berusia 27 tahun itu itu gagal selepas berjaya dicekup dalam insiden kejar-mengejar yang bermula di Lebuh SPA.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!