Sejam dikejar JPJ, pemandu lompat keluar dari lori 'hantu' hingga rempuh rumah

' Lori hantu' yang merempuh sebuah rumah penduduk di Jalan KJ51, Taman Krubong Jaya, pada petang Rabu.
' Lori hantu' yang merempuh sebuah rumah penduduk di Jalan KJ51, Taman Krubong Jaya, pada petang Rabu.
A
A
A

MELAKA - Seorang pemandu lori bertindak terjun dari kenderaan yang sedang bergerak bagi mengelak ditahan penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyebabkan kenderaan itu merempuh sebuah rumah dalam kejadian di Jalan KJ51, Taman Krubong Jaya, pada petang Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, tindakan lelaki berusia 27 tahun itu itu gagal selepas berjaya dicekup dalam insiden kejar- mengejar yang bermula di Lebuh Sungai Udang–Paya Rumput–Ayer Keroh (SPA).

Pengarah JPJ Melaka, Muhammad Firdaus Shariff berkata, sebelum kejadian pasukannya meminta pemandu lori lima tan yang membawa bahan binaan memberhentikan kenderaan, namun lelaki itu enggan sebelum berlaku insiden mengejar hampir sejam.

Muhammad Firdaus
Muhammad Firdaus

Menurutnya, anggota JPJ terpaksa mengekori lori berkenaan sejauh lebih kurang 25 kilometer sehingga ke Taman Krubong Jaya.

"Namun ketika berada di Taman Krubong Jaya pemandu lelaki itu telah bertindak melompat keluar dari kenderaan berat itu.

"Impaknya kenderaan tersebut telah bergerak tanpa kawalan lalu merempuh sebuah rumah penduduk di taman itu," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, insiden berkenaan telah menyebabkan kerosakan pada pagar, tembok rumah dan sebuah kenderaan pacuan empat roda, Mitsubishi Triton, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Dengan bantuan penduduk setempat akhirnya lelaki yang memandu dalam keadaan berbahaya itu berjaya ditahan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tangkap layar sebuah lori melawan arus di Lebuh SPA berhampiran lampu isyarat Gangsa, Durian Tunggal di sini, pada Rabu.
Tangkap layar sebuah lori melawan arus di Lebuh SPA berhampiran lampu isyarat Gangsa, Durian Tunggal di sini, pada Rabu.

"Kita juga telah membuat laporan di Balai Polis Durian Tunggal dan hasil semakan mendapati lori berkenaan mempunyai lapan saman lampau yang telah diselesaikan," katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, JPJ Melaka juga telah mengeluarkan lima notis saman baharu terhadap pemandu atas kesalahan seperti tiada Lesen CDL (Lesen Memandu Kompeten) dan GDL (Lesen Memandu Barangan), tidak mematuhi lampu isyarat merah, serta memandu secara cuai.

"Saya tegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan dilakukan mengikut prosedur yang ditetapkan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

"Kita menasihatkan pemandu agar sentiasa mematuhi undang-undang dan mengelak tindakan berbahaya di jalan raya," ujarnya.

Terdahulu, tular video kejadian itu berdurasi 42 saat berlaku aksi kejar- mengejar di persimpangan lampu isyarat lebuh SPA itu selain memaparkan lori itu turut dipandu melawan arus dan dan tidak berhenti sambil diekori kenderaan JPJ.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!