Dua pemandu lori miliki diesel tanpa lesen didenda RM35,000

Sey Sim (duduk, kiri) dan Kar Weng (duduk, kanan) ketika hadir ke mahkamah.
Sey Sim (duduk, kiri) dan Kar Weng (duduk, kanan) ketika hadir ke mahkamah.
A
A
A

SEREMBAN - Dua pemandu lori mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas pertuduhan memiliki diesel tanpa lesen masing-masing sebanyak 2,202 liter dan 1,507 liter, tahun lalu.

Hakim, Mohamad Kamil Nizam menjatuhkan hukuman denda RM15,000 terhadap Kuah Kar Weng, 26, manakala RM10,000 terhadap Goh Sey Sim, 45, selepas pertuduhan dibacakan.

Mahkamah turut menetapkan masing-masing dipenjara tiga bulan dan lima bulan sekiranya gagal membayar denda.

Selain itu, hasil jualan diesel dan lori turut dilucuthakan.

Mengikut pertuduhan yang dibacakan berasingan, tertuduh memiliki barang kawalan yang juga barang berjadual iaitu diesel di dalam lori dipandu masing-masing dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah untuk melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak diesel secara runcit tanpa lesen.

Kar Weng melakukan kesalahan itu kira-kira jam 1.15 pagi di sebuah stesen minyak di Batu, Jalan Rasah, di sini, 7 Oktober lalu manakala Sey Sim didakwa melakukannya pada jam 1.30 pagi di sebuah stesen minyak dekat Jalan Mambau, di sini, pada tarikh sama.

Sabit kesalahan, boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya, didenda tidak lebih RM3 juta atau penjara boleh sampai lima tahun atau kedua-duanya.

Peguam, Royston Tan yang mewakili kedua-dua tertuduh memaklumkan pihaknya telah menghantar representasi kepada pihak pendakwaan untuk meringankan denda terhadap anak guamnya.

Menurutnya, kedua-dua tertuduh juga sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut selain memaklumkan itu adalah kesalahan pertama bagi kedua-dua tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN), Nor Alimah Sanusi memaklumkan perbuatan dilakukan tertuduh dikesan selepas pelaksanaan subsidi bersasar.

Jelasnya, pihaknya turut menemui 'fleet card' subsidi minyak milik individu lain dan resit pembelian diesel ketika kedua-dua tertuduh ditahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!