Isu AI, keselamatan Maritim antara isu dibangkitkan Malaysia pada ADMM Retreat

GEORGE TOWN - Isu keselamatan dipengaruhi penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber antara isu penting yang akan dibangkitkan oleh Malaysia dalam Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM Retreat) bermula hari ini sehingga Khamis.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tidak dinafikan masa depan dan penentuan keselamatan, keamanan serta pertahanan negara banyak dipengaruhi dengan penggunaan teknologi termasuk AI.
Menurutnya, penggunaan teknologi dan AI akan banyak membantu usaha-usaha dalam memastikan pertahanan dan keselamatan negara namun pada masa sama, penyalahgunaan teknologi dan AI boleh membawa ancaman.
"Atas dasar itu, Malaysia merasakan adalah perlu untuk kita bawa perkara ini untuk dibincang secara bersama supaya kita boleh lihat apa jurang antara setiap negara.
"Selain supaya ada persefahaman penggunaan AI dan sebagainya," katanya pada sidang akhbar sempena Sesi ADMM Retreat di sini pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, Malaysia juga akan membawa isu keselamatan maritim dalam negara ASEAN.
"Kita pun tahu cabaran maritim termasuk Laut China Selatan, tuntutan-tuntutan bertindih di kawasan adu kuasa antara beberapa negara. Kita nak elak supaya tiada konflik di kawasan-kawasan di Laut China Selatan.
"Maka adalah penting untuk kita pastikan adanya kebebasan untuk laluan di laut tersebut, perlunya untuk kita mengekalkan atau menjunjung undang-undang antarabangsa dalam menggunakan laluan-laluan dalam rantau kita dan sebagainya.
"Selain itu, sebolehnya untuk memastikan kurangnya peningkatan aset-aset ketenteraan di kawasan Laut China Selatan. Atas sebab itu lah, perlu untuk negara-negara ASEAN untuk berbincang mengenai perkara ini bagaimana kita perlu secara bersama berhadapan dan menangani soal keselamatan maritim dalam kawasan kita," katanya.
Jelasnya lagi, perkara itu perlu dibincangkan secara bersama supaya ia mendapat pandangan yang boleh memastikan melalui pemusatan ASEAN dapat menangani perkara tersebut dengan baik.
Selain daripada isu tersebut, Mohamed Khaled berkata, Malaysia juga akan membangkitkan isu perubahan iklim yang kerap berlaku di negara serantau.
"Dengan perubahan iklim dan cuaca, bencana yang kerap dan tidak pernah berlaku, kini kerap berlaku dalam kawasan kita (ASEAN), maka ada keperluan untuk kita pertimbangkan bagi mewujudkan pasukan 'Humanitarian and Disaster Relief' dalam kalangan negara-negara ASEAN.
"Ini akan melibatkan beberapa negara ASEAN, bukannya secara menyeluruh. Jika kita nak buat 'peacekeeping force' dalam kalangan negara ASEAN, mungkin ia tidak mudah. Seperti Lebanon, Malaysia dan Brunei dahulu, kita menunjukkan 'peacekeeping force' bersama. Indonesia pula secara bersendirian.
"Bagaimanapun, untuk mewujudkan persefahaman yang lebih jitu dalam kalangan negara ASEAN dalam sektor pertahanan, kita mungkin boleh pertimbang untuk mewujudkan 'Humanitarian and Disaster Relief' ini kerana ketidaktentuan cuaca dan sebagainya," katanya.
Mohamed Khaled menambah, Malaysia juga akan kemukakan tentang kerjasama untuk membangunkan industri pertahanan tempatan.
"Ini memang ada kerjasama secara dua hala antara negara dalam beberapa perkara melibatkan industri pertahanan tempatan.
"Mungkin itu boleh diperluaskan kepada negara-negara dalam ASEAN iaitu antaranya dalam membangunkan satu standard untuk memastikan kita dapat majukan rantaian pembekalan bagi keperluan pertahanan negara ASEAN," katanya.
Beliau berkata lagi, Malaysia juga berpendapat bahawa negara ASEAN perlu memberi perhatian kepada ancaman yang datang dari 'non-state actor' iaitu ancaman daripada keselamatan bio.
"Kita tahun kumpulan pengganas, kumpulan yang terlibat dalam kumpulan besar, mereka mungkin satu hari boleh menjadi kumpulan yang bersenjata.
"Jadi ini semua, kita perlu mula bekerjasama, berbincang antara negara ASEAN terhadap pandangan Malaysia ini. Jika ia diterima, kesemua isu ini akan dibincangkan dalam Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN pada November nanti," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

