RUU PSB: Kerajaan cadang tiga nilai ambang, ikut usia bangunan

KUALA LUMPUR - Kerajaan mencadangkan tiga nilai ambang di bawah Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) melibatkan peratusan persetujuan pemilik hartanah sebelum projek pembangunan tanah atau premis dimulakan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, tiga kategori nilai ambang itu ditetapkan mengikut usia bangunan.
"Kalau bangunan itu kurang 30 tahun (memerlukan) 80 peratus pemilik menyatakan persetujuan, baru dimulakan rundingan.
"Bagi bangunan melebihi 30 tahun, 75 peratus (pemilik) perlu bersetuju dan bagi rumah yang terbiar dan terbengkalai, 51 peratus iaitu majoriti mudah diperlukan," katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteru (PMQT) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Dalam pada itu beliau yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, cadangan nilai ambang itu perlu bagi mengelakkan projek ditangguhkan.
Memberi contoh yang berlaku di rumah pangsa di Jalan Tun Razak, 99 peratus pemilik bersetuju dengan rancangan tersebut, namun tidak dipersetujui oleh seorang pemilik hingga menyebabkan bangunan terbiar lapuk, lembap dan daif.
"Apakah kita boleh korbankan seluruh projek yang dipersetujui 99 peratus (pemilik) hanya kerana seorang (yang tidak bersetuju).
"Sebab itu kita ada ambang persetujuan (contohnya) kalau bangunan itu 80 peratus bersetuju, baru kita mulakan projek.
"Jadi (dakwaan) Jawatankuasa Eksekutif Rumah mengambil alih peranan Kerajaan Negeri juga tidak benar," ujarnya.
Sementara itu dalam perkembangan lain, Ahli Parlimen Tambun itu menegaskan, penggubalan RUU PSB bukan agenda baharu di bawah Kerajaan Madani, sebaliknya sudah dirangka lebih 10 tahun lalu.
Beliau berkata, komitmen melaksanakannya juga turut dinyatakan oleh beberapa menteri termasuk yang kini berada di blok pembangkang.
"Pada 2021, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida (Kamaruddin) memulakan penggubalan RUU PSP dan pada Mac 2022, Datuk Seri Reezal Merican (Naina Merican) meneruskan serta menegaskan prinsip sama.
"Pada September 2022, Yang Berhormat Arau (Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, yang ketika itu Menteri Wilayah Persekutuan), malah menetapkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah mengenal pasti 30 kawasan untuk pembaharuan semula.
"Sejak 2012, sebanyak 74 kali sesi libat urus diadakan, yang mana kita mengambil kira masalah yang dihadapi rakyat," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
