Penjawat awam didakwa 48 tuduhan terima lebih RM270,000

Tertuduh diiringi keluar dari mahkamah selepas selesai sebutan kesnya pada Selasa.
Tertuduh diiringi keluar dari mahkamah selepas selesai sebutan kesnya pada Selasa.
A
A
A

KUANTAN - Seorang penjawat awam dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas 48 pertuduhan menerima wang tunai RM270,400 tanpa balasan daripada individu yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya sebagai Penolong Jurutera Kanan, Jabatan Kerja Raya (JKR) Raub.

Tertuduh, Mohd Farisyal Mohd Alias, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan atas semua pertuduhan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima RM500 hingga RM25,000 daripada individu terlibat antara Disember 2019 hingga Disember 2022.

Semua transaksi bayaran dilakukan secara dalam talian melalui akaun bank sebuah syarikat ke akaun bank miliknya.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ezuain Farhana Ahmad di hadapan Hakim Sazlina Safie.

Dalam prosiding itu, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM40,000 ke atas tertuduh bagi semua tuduhan dengan syarat-syarat tambahan.

Peguam, Mohamed Falihin Kamil Mohamed Sazali mewakili tertuduh dalam rayuannya memohon mahkamah mempertimbangkan jumlah jaminan lebih rendah.

Menurutnya, anak guamnya kini bertugas di Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Raub terpaksa menyara isteri dan tiga anak yang bersekolah dengan pendapatan kira-kira RM5,900 sebulan.

Artikel Berkaitan:

Selain itu katanya, tertuduh juga ada rekod masalah jantung.

Sementara itu, mengambil kira rayuan tertuduh, Sazlina membenarkan jumlah jaminan dikurangkan kepada RM28,000 dengan seorang penjamin berserta syarat-syarat tambahan.

Tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Raub pada hari Isnin minggu pertama pada setiap bulan sehingga kes bicara selesai.

Dia juga tidak dibenarkan untuk bercakap atau menghubungi pengadu dan saksi pendakwaan kecuali pegawai penyiasat sepanjang perbicaraan serta perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 17 April depan sebagai tarikh sebutan serahan dokumen itu dalam mahkamah sama.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!