Bekas pegawai bank tak mengaku minta suapan lebih RM150,000

MELAKA - Bekas pegawai bank didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas 26 tuduhan meminta suapan berjumlah RM153,622.47 dalam tempoh lima tahun bermula 2018.
Tertuduh, Mohd Rais Mohamed Ramli, 44, bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa meminta suapan berkenaan daripada Tetuan Arizal Jailani & Co. sebagai suatu dorongan untuk membantu firma guaman tersebut diberikan rujukan-rujukan kes melibatkan kes urusan pinjaman perumahan dengan pihak Malaysia Building Society Berhad (MBSB) Bank oleh pegawai eksekutif bank yang berkhidmat di bawah seliaannya.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Restoran 35, G22, Jalan PM5, Plaza Mahkota, di sini, antara Januari 2018 hingga Disember 2023.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Fatin Nur Athirah Zainudin menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin dan mencadangkan syarat tambahan, pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selain dia perlu melaporkan diri ke Pejabat SPRM Selangor setiap bulan sehingga kes selesai.
Sementara itu, Andrew Lourdes yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kerana Mohd Rais sedang menganggur sejak setahun lalu dan hanya menggunakan wang simpanan untuk menyara keluarganya.
Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan RM37,000 dengan seorang penjamin dan bersetuju dengan syarat tambahan yang dikemukakan pihak pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan 9 April depan untuk sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

