Lelaki warga China tak mengaku cederakan anggota polis dengan kerusi plastik

BUTTERWORTH - Seorang lelaki warga China mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencederakan anggota polis pada 16 Februari lalu.
Tertuduh Jin Huahui, 45 tahun membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Aini Adilah Muhammad Faizal selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan ke atas anggota polis dengan menggunakan kerusi plastik dalam kejadian di Pangsapuri Servis Nyior di sini, pada 16 Februari kira-kira jam 9.30 malam.
Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda dan sebat sekiranya di sabitkan kesalahan.
Ketika prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Airina Syazreen Zainurin tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh berikutan lelaki itu adalah warga asing.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 5 Mac depan untuk sebutan semula kes berkenaan bagi mengesahkan pasport milik tertuduh.
Difahamkan dalam kejadian pada Ahad lalu, tertuduh dikatakan berang selepas ditegur oleh anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut kerana selalu membuat bising di Pangsapuri Servis Nyior di Butterworth.
Dikatakan walaupun telah diberi nasihat secara baik supaya tidak membuat bising, lelaki itu kemudiannya bertindak memarahi anggota polis terbabit.
Lelaki berkenaan kemudiannya bertindak agresif dengan mengambil kerusi plastik sebelum memukul anggota polis berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!