Kenyataan Nazri Aziz bersifat peribadi - UMNO Padang Rengas

IPOH - Kenyataan bekas Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkaitan Pemuda UMNO hanya mewakili sebahagian kecil suara orang Melayu disifatkan sebagai pandangan peribadi dan bukanlah mewakili UMNO Bahagian Padang Rengas secara keseluruhannya.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Mohd Ariff Abdul Majid berkata, perbezaan pandangan dalam sesebuah organisasi itu merupakan perkara biasa.
"Namun, kita perlu mengelakkan ia daripada berkembang menjadi perbalahan yang boleh merosakkan keharmonian sesama kita.
"Ahli parti dan rakyat sentiasa memerhatikan setiap tindakan kita, jadi kita perlu berhati-hati agar tidak menimbulkan rasa tidak puas hati dan meluat dengan tindak tanduk kita pada kalangan mereka semua," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Selasa.
Media sebelum ini melaporkan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menyelar kenyataan Mohamed Nazri yang mendakwa Pemuda UMNO sekarang hanya mewakili sebahagian kecil suara orang Melayu susulan isu garis panduan agama Islam yang lantang disuarakannya.
Mohd Ariff yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata, isu-isu seperti itu sebaiknya diselesaikan secara dalaman agar tidak menjejaskan imej parti.
"Pandangan saya, UMNO tidak ketandusan pemimpin, masih ramai pemimpin berkaliber di peringkat tertinggi yang boleh diketengahkan untuk memimpin parti ini di masa hadapan.
"Presiden UMNO kita juga merupakan seorang pemimpin yang berkaliber kerana beliau berjaya mengelakkan parti daripada diharamkan satu ketika dahulu.
"Keputusan bijak beliau telah membawa UMNO menjadi sebahagian daripada kerajaan dan ini menunjukkan keupayaan kepimpinan yang tinggi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
