Sindiket ‘Geng John’ guna hotel bajet, tawar RM1,800 seludup migran

KUALA LUMPUR – Sindiket penyeludupan migran dikendalikan kumpulan dikenali sebagai Geng John terbongkar selepas polis menyerbu dua hotel bajet di Chow Kit, di sini pada Isnin.
Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan terbabit dijalankan dalam Op Pintas Bersepadu oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 (ATIPSOM), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman bersama Pasukan Gerakan Am (PGA).
"Operasi menahan seramai 71 individu warga Indonesia yang dipercayai terlibat dalam aktiviti keluar dan masuk ke Malaysia secara haram.

"Sindiket ini dipercayai beroperasi lebih setahun dengan menggunakan rumah penampungan serta hotel bajet sebagai transit sebelum menghantar migran ke laluan laut tidak diwartakan," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, sindiket menggunakan rumah penampungan serta hotel bajet sebagai lokasi transit sebelum membawa migran ke kawasan pesisiran pantai.
"Dari situ, mereka akan menaiki bot utama yang membawa mereka ke destinasi yang dituju, sama ada masuk ke Malaysia atau keluar ke Indonesia,” katanya.
Jelasnya, bayaran yang dikenakan oleh sindiket kepada migran adalah antara RM1,500 hingga RM1,800 bagi setiap perjalanan.
"Tekong darat akan menguruskan perjalanan migran dari rumah penampungan sehingga ke kawasan pantai sebelum mereka dihantar menaiki bot utama,” ujarnya.
Soffian berkata, dalam serbuan itu, seramai sembilan individu terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita disyaki berperanan sebagai tekong darat serta penjaga rumah penampungan.
"Mereka dipercayai individu yang menguruskan pergerakan migran serta menjaga tempat transit sebelum migran dihantar ke lokasi pelepasan.
"Kesemua mereka ditahan di bawah Seksyen 26A dan Seksyen 26J Akta ATIPSOM 2007 kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran," katanya.
Tambahnya, seramai 31 migran yang tidak memiliki dokumen perjalanan sah ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala 31 lagi disiasat di bawah Seksyen 15(4) akta sama kerana melanggar syarat pas atau permit yang ditetapkan.
Menurut Soffian, pihaknya akan terus memperhebatkan operasi bagi membanteras jenayah penyeludupan migran yang semakin berleluasa.
"Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati bersubahat dengan sindiket ini.
"Kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dalam aktiviti jenayah ini,” katanya.
Ujarnya, orang ramai diseru agar menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui sebarang aktiviti penyeludupan migran bagi membantu pihak berkuasa membanteras jenayah ini hingga ke akar umbi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

