Syarikat subsidiari alami kerugian perlu strategi pemulihan

Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa berkenaan Laporan Ketua Audit Negara 1/2025 berhubung pelaburan syarikat subsidiari milik agensi persekutuan.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Selasa berkenaan Laporan Ketua Audit Negara 1/2025 berhubung pelaburan syarikat subsidiari milik agensi persekutuan.
A
A
A

PENDEDAHAN Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2025 di Dewan Rakyat pada Isnin berhubung pelaburan syarikat subsidiari milik agensi persekutuan menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi mendedahkan sebanyak 59 agensi memiliki 217 syarikat subsidiari dengan pelaburan RM65.145 bilion dan 86 daripada syarikat tersebut mengalami kerugian RM2.810 bilion.

Kerugian besar ini memberi impak kepada kestabilan kewangan negara, terutamanya apabila melibatkan institusi yang memainkan peranan penting seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Lembaga Tabung Haji (TH), Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Keadaan berkenaan boleh memberi kesan dari segi meningkatkan beban kewangan kerajaan kerana perlu menampung kerugian syarikat subsidiari yang tidak berdaya saing.

Laporan tersebut juga berkemungkinan menjejaskan kepercayaan pelabur terhadap pengurusan kewangan kerajaan sekali gus menyebabkan aliran keluar modal dan memberi pengaruh kepada kestabilan ekonomi negara.

Prestasi syarikat milik kerajaan yang lemah turut boleh memberi kesan pada pasaran modal dan sektor perbankan yang bergantung pada kestabilan korporat.

Selain itu, agensi seperti KWSP dan LTAT yang bergantung kepada keuntungan daripada syarikat subsidiari untuk memberikan pulangan kepada pencarum dan pesara, berisiko memberi pulangan yang lebih rendah jika kerugian ini berterusan.

Bagaimanapun, Wan Suraya menerusi laporan sama telah mengemukakan 10 syor bagi tujuan penambahbaikan termasuk mengkaji semula hala tuju dan pelan perniagaan syarikat subsidiari yang mengalami kerugian dan tidak memberi pulangan sewajarnya.

Ujar beliau, agensi persekutuan perlu memberi perhatian serius termasuk dengan bertindak menutup syarikat subsidiari berstatus dorman, atau tidak aktif melebihi lima tahun.

Artikel Berkaitan:

Syor lain adalah, memastikan keupayaan agensi persekutuan untuk meneruskan operasi berdasarkan usaha berterusan dan mengurangkan liabiliti yang bersifat komitmen kewangan serta mengurangkan kebergantungan kepada kerajaan.

Sudah tentu, syarikat yang mengalami kerugian besar dijangka memerlukan strategi pemulihan atau pengurangan operasi yang boleh memakan masa untuk dilaksanakan. Ini boleh menyebabkan ketidakstabilan dalam jangka masa pendek.

Kerajaan dan agensi terlibat perlu melakukan kajian mendalam terhadap punca kerugian dan mengambil tindakan yang lebih proaktif untuk menstabilkan syarikat-syarikat ini.

Ini mungkin melibatkan pengukuhan struktur modal, penyesuaian dengan keadaan pasaran semasa, atau mungkin perubahan strategi pelaburan untuk meminimumkan kerugian dan memastikan keuntungan jangka panjang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!