'Jika kos operasi meningkat, pengusaha hotel tiada pilihan'

SHAH ALAM - Kenaikan harga bufet Ramadan di hotel bergantung kepada peningkatan kos operasinya, termasuk bayaran gaji pekerja dan harga barangan mentah.
Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia (MyBHA), Dr Sri Ganesh Michiel menjelaskan, setakat ini belum ada sebarang keputusan mengenai perkara itu namun pihak hotel tidak menolak kemungkinan harga bufet Ramadan akan meningkat jika kos terus bertambah.
Menurutnya, tindakan itu perlu dilakukan bagi menampung kos yang perlu ditanggung pengusaha hotel dan mengelakkan kerugian.
“Jika kos meningkat, hotel tiada pilihan selain menaikkan harga bufet bagi menampung perbelanjaan.
“Antara faktor utama peningkatan kos adalah kenaikan gaji pekerja selaras dengan pelaksanaan gaji minimum yang kini mencecah RM1,700.
“Gaji pekerja lama atau pekerja tetap tidak boleh sama dengan yang baharu atau sambilan, jadi perlu dinaikkan seperti elaun tambahan. Ini secara langsung meningkatkan kos operasi secara keseluruhan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Mengulas lanjut Sri Ganesh berkata, kos barangan mentah dan perkhidmatan seperti penyelenggaraan turut menyumbang kepada kenaikan harga bufet.
Bagaimanapun katanya, sebarang keputusan mengenai kenaikan harga bufet Ramadan pada tahun ini bergantung kepada pengiraan kos dan keuntungan oleh pihak hotel.
“Kami tidak menetapkan kadar kenaikan tertentu. Ia bergantung kepada kemampuan setiap hotel menampung kos mereka, jika meningkat lima peratus, mungkin harga bufet akan naik sedikit,
“Selain menaikkan harga bufet, ada hotel yang mempertimbangkan strategi lain seperti memperkenalkan pakej bagi menarik lebih ramai pelanggan.
“Melalui pakej ini, pelanggan bukan sahaja berbuka puasa di hotel tetapi turut menginap di situ. Ini membolehkan hotel menjana pendapatan tambahan,” jelas beliau.
Beliau turut memberitahu bahawa persaingan daripada rumah inap turut memberikan tekanan kepada hotel untuk mengekalkan harga berpatutan.
“Di kawasan seperti Port Dickson, ramai pelanggan memilih untuk makan di hotel tetapi menginap di homestay yang lebih murah. Ini menyebabkan hotel kehilangan sebahagian pendapatan dari penginapan.
“Jadi di sini kerajaan perlu memainkan peranan agar dapat membantu mengawal kos operasi bagi mengelakkan kenaikan harga yang membebankan pengguna,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

