Program Celik Madani galak pelajar IPT simpan dan labur

Amir Hamzah menyampaikan ucapan Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MOU) di antara PNB dan Universiti Awam dan Universiti Berkaitan Kerajaan Program Celik Madani di Menara Merdeka 118, pada Isnin. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Amir Hamzah menyampaikan ucapan Majlis Penyerahan Memorandum Persefahaman (MOU) di antara PNB dan Universiti Awam dan Universiti Berkaitan Kerajaan Program Celik Madani di Menara Merdeka 118, pada Isnin. Foto SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) disaran untuk terlibat dengan Program Celik Madani melalui Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor masing-masing.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, ia bertujuan menggalakkan para pelajar meningkatkan pelaburan bagi membina tabiat menyimpan dan melabur dari usia muda.

Menurutnya, generasi muda harus memiliki kesedaran kewangan tinggi dan mampu membuat keputusan kewangan yang bijak.

"Menerusi Program Celik Madani, mahasiswa baharu akan diberi sumbangan dana pelaburan awal sebanyak RM50 yang dikunci selama lima tahun.

"Jika diandaikan pulangan dividen sepanjang tempoh itu adalah sebanyak 5.5 peratus setahun dan pelajar membuat simpanan tambahan RM20 sebulan selama empat tahun.

"Diikuti dengan simpanan RM100 sebulan ketika mula bekerja selama enam tahun, mereka dijangka mampu mempunyai simpanan terkumpul melebihi RM10,000 dalam tempoh 10 tahun, jika tiada pengeluaran dibuat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Memorandum Perjanjian Program Celik Madani antara Permodalan Nasional Berhad (PNB) dengan universiti awam dan universiti berkaitan kerajaan di sini pada Isnin.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.

Tambah Amir Hamzah, mahasiswa juga digalakkan untuk mengikuti pendidikan literasi seperti yang dijalankan oleh oleh PNB dan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB).

Artikel Berkaitan:

"Literasi kewangan amat penting bagi generasi muda lebih-lebih lagi kepada mahasiswa supaya mereka dapat merancang kewangan dengan lebih baik demi kesejahteraan diri sendiri mahupun apabila berkeluarga kelak.

"Saya percaya sekiranya mahasiswa kita menyedari dan memahami kepentingan perancangan kewangan, mereka akan bertindak lebih proaktif dengan menyimpan secara konsisten untuk kesejahteraan kewangan," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!