Jika mahu kenakan saya, ALLAH tidak izin, maka tidak jadi - Sanusi

SHAH ALAM – “Berhimpunlah satu dunia, jika nak kenakan saya tapi ALLAH tidak izinkan, maka saya tidak akan kena.”
Demikian kata Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin melepaskan dan membebaskannya daripada satu pertuduhan menghasut berkaitan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu ceramah politik pada Julai dua tahun lalu.
Menteri Besar Kedah itu berkata, perkara sama akan berlaku sekiranya semua pihak mahu menyelamatkan seseorang tetapi tidak mendapat izin daripada ALLAH, maka ia juga tidak akan terjadi.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat memahami niat penyokong yang tidak putus-putus mendoakan kelancaran kes ini, meskipun ia tidak pernah diutarakan di hadapannya.
Susulan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada keluarga, rakan-rakan, dan kepimpinan politik termasuk peguam yang berusaha untuk memenangi kes tersebut.
“Saya juga menjunjung kasih kepada Sultan Selangor dan Pahang yang memberikan warkah pengampunan ini.
“Terima kasih juga kepada mahkamah yang telah membuat keputusan demikian, selari dengan doa rakyat Malaysia.
“Saya menang macam ini sekalipun, Alhamdulillah,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.
Pada Isnin, Sanusi dilepaskan dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Tinggi di sini, berhubung satu kes menghasut yang berkaitan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam satu ceramah politik, pada Julai dua tahun lalu.

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian selepas pihak pendakwaan memberitahu, pihaknya tidak bercadang untuk meneruskan kes dihadapi Sanusi, 51.
Pada 18 Julai 2023, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Kedah itu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan menghasut.
Mengikut pertuduhan, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa atas dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong ke-16, di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara- Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai 2023.
Pertuduhan bagi kedua-dua kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 1 Februari 2024, perbicaraan dua kes itu dipindahkan untuk dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi di sini.
Pada 26 September tahun lalu, Sultan Selangor berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Sanusi.
Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah menerima permohonan itu atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu.
Pada 10 Disember tahun lalu, Sanusi diberi perintah DNA oleh Mahkamah Tinggi sama, atas satu kes menghasut yang menyentuh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu ceramah politik, Julai tahun sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

