[VIDEO] 'Saya dengar suara isteri tapi kaki ini bersimen, maafkan saya mak'

A
A
A

JASIN - Lelaki yang kehilangan isteri dan empat anaknya akibat terperangkap dalam kebakaran rumah di Berangan Enam, Umbai di sini, pada awal pagi Khamis, masih terngiang-ngiang jeritan isterinya yang meminta tolong.

Muhammad Khairuddin Sa’ari, 35, berkata demikian kepada ibu mentuanya, Ruziha Osman, 60, ketika dia menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Jasin.

Dalam pertemuan itu, Muhammad Khairuddin dilihat gagal mengawal emosi dan beberapa kali meminta maaf kepada ibu mentuanya itu yang duduk di atas kerusi roda.

"Saya dengar suara isteri panggil nama anak-anak, panggil Damia tapi keadaan kaki ini (bersimen) saya minta maaf mak," katanya.

Muhammad Khairuddin dilihat beberapa kali meminta maaf kepada ibu mertuanya sambil ditenangkan Ab Rauf (tengah).
Muhammad Khairuddin dilihat beberapa kali meminta maaf kepada ibu mertuanya sambil ditenangkan Ab Rauf (tengah).

Tambahnya, dalam keadaan panik itu dia terdengar suara isterinya yang sedang mengandung lima bulan memanggil nama anak sebelum jeritan itu hilang.

Ujarnya, dia yang ketika itu dapat menyelamatkan diri kemudian cuba masuk semula untuk menyelamatkan isteri dan empat anak namun dihalang penduduk kampung disebabkan api begitu marak dan asap tebal.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ketika kebakaran itu baru berlaku, dia berusaha memadamkan api dengan menggunakan getah paip air namun tidak berjaya lebih-lebih lagi tekanan air di rumah sangat perlahan.

Muhammad Khairuddin dilihat beberapa kali meminta maaf kepada ibu mertuanya sambil ditenangkan Ab Rauf (tengah).
Muhammad Khairuddin dilihat beberapa kali meminta maaf kepada ibu mertuanya sambil ditenangkan Ab Rauf (tengah).

"Sehingga saat ini masih terbayang-bayang keadaan isteri dan anak-anak yang berusaha keluar untuk menyelamatkan diri namun tidak berjaya," katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan seorang ibu bersama empat anaknya rentung selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran.

Ruziha (berkerusi roda) ketika ditemui ahli keluarganya di pekarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Jasin pada Khamis.
Ruziha (berkerusi roda) ketika ditemui ahli keluarganya di pekarangan Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Jasin pada Khamis.

Mangsa maut dikenali sebagai, Laila Fathinah Mustapa, 37, dan empat anaknya, Nur Damia Batrisyia Abdullah,13; Izz Daffa Hafizuddin,7; Nur Dalilah Khadijah, 6, dan Izz Danish Fathi, 4, manakala suami kepada Laila, Muhammad Khairuddin Saari, 35, terselamat.

Insiden yang meruntun hati itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertua Negeri, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang berkesempatan menziarahi Muhammad Khairuddin di Hospital Jasin.

Malah kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan awal RM2,000 bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!