Varian baharu Koronavirus di China: Saham syarikat farmaseutikal melonjak

LONDON - Saham syarikat farmaseutikal Pfizer dan Moderna melonjak pada Jumaat selepas penyelidik di Institut Virologi di China berjaya mengesan satu lagi varian Koronavirus baharu dikenali sebagai HKU5-CoV-2.
MailOnline pada Sabtu melaporkan, saham Pfizer (PPE.N) meningkat sebanyak 1.54 peratus, manakala saham Moderna (MRNA) melonjak sebanyak 5.34 peratus selepas berita itu tersebar.
"Bagaimanapun prestasi pasaran saham 500 syarikat terbesar Amerika yang lain jatuh sebanyak 1.71 peratus. Pasaran Dow Jones Industrial pula mengalami penurunan terbesar tahun ini, merosot sebanyak 1.69 peratus. Manakala indeks Nasdaq komposit pula jatuh dengan ketara sebanyak 2.2 peratus," petik laporan itu.

Sebelum itu, pakar Virologi dari China Shi Zhengli berkata, penemuan varian baharu tersebut ditemui hidup dalam haiwan kelawar dan ia sangat mirip dengan virus penyebab pandemik Covid-19 yang melanda dunia sejak dua tahun lalu.
“Ujian menunjukkan HKU5-CoV-2 dapat merebak ke dalam sel manusia melalui cara serupa dengan SARS-CoV-2, malah ia juga boleh menyebabkan risiko tinggi sama ada jangkitan langsung atau hos perantaraan.
“Munculnya virus berkenaan boleh mengundang kebimbangan secara global kerana berkemungkinan akan menyebabkan ancaman lebih besar kepada kesihatan awam,” katanya.
Berasal daripada keluarga ‘merbacovirus’ sama seperti Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV), virus tersebut boleh menyebabkan gejala seperti demam, batuk, sesak nafas, cirit-birit dan muntah serta mengundang maut. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

