Imigresen nafi dakwaan dera di depot tahanan

Jabatan Imigresen Malaysia menafikan dakwaan berlakunya kejadian dera di depot tahanan jabatan terbabit di Selangor, seperti yang tular di media sosial pada Sabtu.
Jabatan Imigresen Malaysia menafikan dakwaan berlakunya kejadian dera di depot tahanan jabatan terbabit di Selangor, seperti yang tular di media sosial pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menafikan dakwaan berlakunya kejadian dera di depot tahanan jabatan terbabit di Selangor, seperti yang tular di media sosial pada Sabtu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, kesemua tahanan diuruskan dengan baik, berdasarkan tatacara yang berkuat kuasa.

Beliau berkata, sekiranya berlaku pelanggaran disiplin oleh tahanan, tindakan akan diambil mengikut tatacara setelah kesalahan itu disahkan oleh komandan melalui siasatan di bawah Peraturan Imigresen Pengurusan Depot 2003.

"Hasil semakan peringkat dalaman depot Imigresen mendapati tiada rekod kejadian seperti yang didakwa.

"Kawasan depot turut dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada pergerakan mencurigakan dikesan,” katanya ketika dihubungi di sini pada Sabtu.

Selain itu, berhubung kemasukan pihak Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk membuat lawatan ke depot tahanan Imigresen, Zakaria berkata, ia hanya dibenarkan dengan kelulusan daripada Ibu Pejabat JIM.

"Orang ramai dimohon untuk menyalurkan maklumat yang spesifik melalui saluran aduan rasmi jabatan untuk kami jalankan siasatan dan tindakan,” katanya.

Beliau berkata, JIM tidak akan berkompromi dan melindungi mana-mana pegawai yang melakukan salah laku.

Terdahulu tular di media sosial dakwaan berlaku penderaan di Depot Imigresen di Selangor oleh pegawai JIM, selepas seorang individu mendakwa adiknya bekerja sebagai pegawai di depot itu menyaksikan kejadian penderaan membabitkan tahanan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!