GRS harus tanding di 73 kerusi sendiri - Pandikar Amin

KOTA KINABALU - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) harus bertanding sendiri di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) yang akan diadakan pada tahun ini.
Perkara itu ditegaskan oleh Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia memandangkan dalam GRS itu sendiri sudah mempunyai banyak parti untuk dibahagikan kerusi.
"Mesti 73 kerusi. Sekarang ini, bayangkan 73 kerusi di Sabah ini, macam satu rumah panjang ada lapan keluarga. Jadi yang 73 bilik ini yang akan dibahagi kepada lapan ketua keluarga.
"Kemudian masuk lagi keluarga besar daripada Malaya (parti Semenanjung), mereka mahu ambil lagi 73 kerusi ini, mungkin mereka minta 20 kerusi.
"Jadi, kalau mereka kuat, ada pengaruh sepatutnya buatlah rumah baharu di sana, lepas itu barulah kita kerjasama. Ini dari awal sudah mahu beri kerjasama," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan program Jelajah USNO Peduli Rakyat Zon 3 di dewan Kampung Warisan, Inanam, di sini, pada Sabtu.
Bekas Speaker Dewan Rakyat itu berpandangan hasrat pemimpin di peringkat Persekutuan mahu supaya GRS bekerjasama dengan parti dari Semenanjung tidak semestinya perlu melibatkan pembahagian kerusi.
"Mereka yang mahu itu (kerjasama), kerjasama ini tidak semestinya harus pengagihan kerusi," katanya.
Dakwa Pandikar, setakat ini Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor tidak pernah menyatakan bahawa GRS akan memberikan sebahagian kerusi itu kepada parti lain.
"Itu memang (73 kerusi milik GRS), sebab itu 'rumah kita, kita jaga' kecuali Hajiji ubah definisi, 'rumah kita jaga, tetapi tidak apalah kita bagi setengah' tetapi belum lagi saya dengar itu daripada Hajiji, belum lagi kami bermesyuarat," katanya.
Ujar beliau, apa yang difahaminya menerusi pembentukan GRS seperti yang ditegaskan Hajiji yang mahu Sabah dipimpin oleh parti tempatannya sendiri.
Tambah Pandikar, rakyat perlu faham apa sebenarnya inti perjuangan GRS iaitu satu falsafah yang dicetus sendiri oleh Hajiji iaitu 'rumah kita, kita jaga. Menu kita, kita yang jaga'.
"Jadi pengertian saya ialah bermakna parti lokal dan ini terbukti daripada tindakannya. Mula-mula beliau di UMNO, tinggalkan UMNO, lepas itu pergi ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), lepas itu dalam GRS.
"Sebelum GRS didaftar sebagai parti, beliau cuma hubungan sesama parti-parti ketika itu dan apabila GRS sudah didaftar secara sah barulah dia tinggalkan Bersatu dan ambil alih Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), jadi itu adalah tindakannya.
"Walaupun Ketua Menteri bercakap kita harus bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan kerana ini adalah untuk kestabilan, itu adalah cakap politik kerana dia adalah ketua kerajaan.
"Tak kan dia (Hajiji) teriak-teriak seperti Pandikar Amin hentam Anwar Ibrahim (Perdana Menteri). Ini adalah gerakan politik iaitu seni, kemahiran dan rundingan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
