Rakyat Sabah berhak tahu siapa bertanggungjawab batalkan Projek TSGP - Shafie Apdal

KOTA KINABALU - Kerajaan digesa memberi penjelasan berhubung pembatalan projek Saluran Gas Paip Trans-Sabah (TSGP) bernilai RM4 bilion yang didedahkan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang juga Presiden Parti Warisan (Warisan) menyatakan kebimbangannya susulan keputusan kerajaan Persekutuan membatalkan sekali lagi projek yang bertujuan untuk menyalurkan gas dari Kimanis ke Sandakan dan Tawau.
Menurutnya, projek itu banyak manfaatnya termasuk menjamin masa depan tenaga Sabah, mencipta peluang pekerjaan selain memastikan rakyat menikmati manfaat daripada sumber asli negeri sendiri.
"Sebaliknya, selepas bertahun-tahun kelewatan, kontroversi dan kini pembatalan sekali lagi, rakyat Sabah tertanya-tanya ke mana perginya wang tersebut.
"Selama berdekad, Sabah telah menyumbang secara signifikan kepada hasil minyak dan gas Malaysia, namun kita masih bergelut dengan isu kekurangan bekalan air, bekalan elektrik yang tidak stabil, infrastruktur yang daif serta ketiadaan manfaat ekonomi yang bermakna dan menerusi projek saluran paip gas ini sepatutnya menyelesaikan masalah ini," katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan pada Jumaat sebagai mengulas jawapan Rafizi kepada Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang bertanyakan adakah projek itu diteruskan dalam sesi sidang parlimen, baru-baru ini.
Dakwa beliau, selepas perubahan kerajaan pada Mei 2018, 88 peratus dana projek tersebut telah dibayar walaupun hanya 13 peratus kerja telah disiapkan.
"Ini menimbulkan persoalan serius tentang ke mana wang itu disalurkan, siapa yang meluluskan pembayaran tersebut dan sama ada terdapat unsur rasuah.
"Jika RM4 bilion telah diperuntukkan, rakyat Sabah berhak untuk tahu bagaimana wang itu dibelanjakan dan berapa baki yang tinggal, siapa pihak utama yang bertanggungjawab menguruskan dana itu termasuk syarikat, kontraktor dan agensi mana yang terlibat serta apa rancangan alternatif kerajaan untuk keperluan gas dan tenaga Sabah," ujarnya.
Tegas Ahli Parlimen Semporna itu lagi, rakyat Sabah sudah tidak boleh menerima projek gajah putih yang hanya menguntungkan segelintir pihak manakala rakyatnya terus dibiarkan dengan janji kosong.
"Jika projek ini telah dibatalkan, apa yang akan berlaku seterusnya, adakah dana akan dipulihkan dan diperuntukkan kepada projek yang benar-benar memberi manfaat kepada rakyat Sabah atau adakah ini akan menjadi satu lagi skandal yang disembunyikan dalam birokrasi.
"Kerajaan tidak boleh terus menyembunyikan kegagalan sebegini. Dedahkan secara terbuka pihak-pihak yang bertanggungjawab dalam pengendalian projek RM4 bilion ini termasuk kontraktor asal, perunding dan mana-mana pembuat keputusan yang terlibat dalam pelaksanaan dan pembatalannya," katanya.
Sehubungan itu, Mohd Shafie yang juga Ketua Pembangkang Sabah menyeru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan penuh terhadap dana RM4 bilion yang dikatakan telah diperuntukkan.
"Saya menggesa kerajaan bersikap telus sepenuhnya dalam proses membuat keputusan serta membentangkan kepada rakyat Sabah satu penyelesaian alternatif yang jelas, praktikal, dan segera.
"Saya juga rakyat Sabah berhak mengetahui mengapa sebahagian besar dana telah dibayar meskipun kemajuan projek pada tahap minima.
"Paling penting, kerajaan perlu menamakan syarikat dan individu yang bertanggungjawab terhadap kegagalan projek ini. Siapa yang menerima kontrak? Siapa yang menguruskan dana? Siapa yang bertanggungjawab atas kekacauan ini? Rakyat Sabah berhak mengetahui kebenaran.
"Sabah berhak mendapat pembangunan sebenar, bukan satu lagi kitaran janji kosong. Kebenaran, akauntabiliti dan keadilan untuk Sabah mesti ditegakkan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
